Mungkin ada cukai baharu yang tak bebankan rakyat, kata PM


Ragananthini Vethasalam

Sistem dan agensi percukaian akan ditambahbaik sebelum cukai baharu yang tak bebankan rakyat diperkenal, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 5 Oktober, 2019.

SISTEM percukaian negara akan ditambahbaik dan dikemaskini yang mungkin melibatkan pengenalan cukai baharu, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Bila kita perkenalkan sistem cukai ia tidak dibuat dengan cara teratur dan terurus, kerana itu ramai terlepas daripada membayar cukai,” katanya kepada wartawan selepas pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 hari ini.

Sehubungan itu, katanya, tambah baik akan dilakukan ke atas sistem percukaian dan agensi berkaitan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Kita mungkin perkenalkan cukai baharu yang tak bebankan rakyat,” katanya menjawab soalan tentang rancangan Putrajaya tentang cukai dan sama ada ia melibatkan semakan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Baru-baru ini, Dr Mahathir berkata Putrajaya akan mempertimbangkan pengenalan balik GST yang sebelum ini dihapuskan sekiranya dimahukan rakyat.

Bagaimanapun, beliau menegaskan ia tidak akan dibuat pada waktu terdekat kerana pembentangan Belanjawan 2020 minggu depan tidak memungkinkan ia dibuat. – 5 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen