Wawasan 2020 gagal, WKB2030 lebih baik, kata Dr Mahathir


Ragananthini Vethasalam

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 5 Oktober, 2019.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang dilancarkan hari ini lebih baik berbanding rancangan ekonomi yang diperkenalkannya hampir 30 tahun lalu semasa kali pertama beliau memegang jawatan sebagai perdana menteri

Wawasan 2020 tidak dapat dicapai kerana dasar dan strateginya tidak dilaksanakan dengan betul dalam tempoh 15 tahun lalu, katanya yang meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 2003, dan mengambil kembali jawatan itu sekali lagi tahun lepas.

“Wawasan 2020 tidak tercapai kerana sejak 15 tahun lepas, dasar dan strategi yang salah telah dilaksanakan oleh dua kerajaan terdahulu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan WKB2030 di Pusat Konvensyen KL di Kuala Lumpur

“Mereka tidak mengikuti visi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020,” kata pengerusi Pakatan Harapan itu.

Daripada meningkatkan pendapatan dan produktiviti, kerajaan terdahulu di bawah Barisan Nasional sebaliknya menggunakan bantuan tunai dan membayar gaji yang tinggi.

Oleh itu, ramai kekal miskin kerana bergantung kepada pemberian tunai dan tidak berkembang bersandarkan usaha mereka sendiri.

Malaysia tidak akan mencapai matlamat Wawasan 2020 untuk menjadi negara maju tahun depan, kata Dr Mahathir.

Bagaimanapun WKB2030 akan menyaksikan rakyat dilatih untuk lebih berkemampuan merebut peluang ekonomi, katanya. – 5 Oktober, 2019.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen