Zahid beri bayang Umno tanding Tanjung Piai


SM Amin

Umno dan orang Melayu di Tanjung Piai mahu MCA menyerahkan kerusi tradisinya itu kerana pengundi Melayu sudah meningkat, daripada 51% pada 2004 kepada 57% sekarang, kata Ahmad Zahid Hamidi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2019.

AHMAD Zahid Hamid memberi bayangan Umno akan bertanding dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai mewakili Barisan Nasional, yang penamaan calonnya ditetapkan pada 2 November ini.

Presiden Umno berkata, Umno dan orang Melayu di Tanjung Piai mahu MCA menyerahkan kerusi tradisinya itu kerana pengundi Melayu sudah meningkat, daripada 51% pada 2004 kepada 57% sekarang.

“Tanjung Piai akan jadi medan kajian. Umno dan orang Melayu di Tanjung Piai mahukan perubahan. Namun MCA juga mahu mengekalkan kerusi tradisinya.

“Tidak ada sesuatu yang mustahil jika MCA dapat berbesar hati dan berlapang dada. Umno juga jangan mengenepikan MCA, undi orang Cina kerana semangat adik beradik harus dikekalkan,” katanya, berucap merasmikan Konvensyen Umno Johor di Johor Bahru, hari ini.

Tanjung Piai mempunyai 52,986 pengundi berdaftar, dengan pecahan kasar  57% Melayu, 42% Cina dan 1% India.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan semua 88 ketua cawangan Umno dalam Bahagian Tanjung Piai sebulat suara bersetuju mahu kerusi Parlimen tersebut ditandingi oleh Umno, dan bukan lagi MCA.

Mereka juga mahu Ketua Umno Bahagian Tanjung Piai Jefridin Atan dipilih sebagai calon pada pilihan raya kecil ini.

Mengulas lanjut perkara itu, Zahid berkata Majlis Tertinggi (MT) Umno telah setuju melantik ketua Umno Johor, Hasni Mohamad sebagai Pengarah Jentera PRK Tanjung Piai manakala Pengarah Operasi diketuai oleh Jefridin.

“Oleh yang demikian di Tanjung Piai kita mesti memberikan tawaran baru kepada pengundi-pengundi. 

“Tawaran baharu ini akan dibincangkan dengan Hasni selaku Pengerusi Barisan Nasional Johor,” katanya.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai diwakili oleh BN melalui MCA sejak kawasan pilihan raya itu dibentuk melalui persempadanan semula pada 2003. 

Kerusi itu adalah pecahan daripada kawasan Parlimen Pontian, yang ditandingi wakil MCA untuk BN sejak pilihan raya 1986. BN bagaimanapun kalah di Tanjung Piai pada pilihan raya umum lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon di Tanjung Piai pada 2 November ini sementara pengundian pada 16 November

Kerusi Parlimen Tanjung Piai kosong selepas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Md Farid Md Rafik (Bersatu-Pakatan Harapan) meninggal dunia pada 21 September lalu. – 5 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen