TIDAK seperti dasar ekonomi berasaskan kaum sebelum ini, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) akan menggunakan pendekatan lebih inklusif bagi menangani jurang ekonomi, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.
Bercakap pada majlis pelancaran hari ini, Muhyiddin yang juga pengerusi Institut Masa Depan Malaysia berkata pendekatan menyeluruh itu akan memakmurkan semua warga Malaysia tanpa mengenal warna kulit dalam usaha merapatkan jurang ekonomi.
WBK2030 juga bertujuan untuk merapatkan jurang ekonomi daripada aspek pendapatan, wilayah dan rantaian bekalan.
“Ini yang kita cuba capai menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama,” katanya.
“Walaupun dasar ekonomi terdahulu ada kejayaan, masih ada kelemahan termasuklah ketirisan dan kesukaran mencapai sasaran yang tidak boleh tercapai sepenuhnya,” katanya.
“Saya tahu ramai akan bertanya tentang kedudukan Bumiputera dalam Wawasan Kemakmuran Bersama. Prinsip asasnya adalah jelas, iaitu mana-mana kumpulan masyarakat yang terpinggir akan dibantu oleh kerajaan.
“Ini termasuk golongan B40 yang mana lebih 70% daripadanya terdiri daripada Bumiputera,” katanya.
Selain Bumiputera, kumpulan bukan Bumiputera yang membentuk 30% golongan B40 juga akan menerima manfaat daripada usaha terbaru kerajaan untuk merapatkan jurang ekonomi ini.
WBK2030 adalah lanjutan Wawasan 2020 diilhamkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang lebih menyeluruh dan holistik.
Wawasan baharu itu akan menjadi garis panduan Malaysia, membolehkan ia menggunakan sepenuhnya potensi ekonomi untuk memakmurkan kehidupan rakyat.
Pakatan Harapan berhasrat, melalui wawasan itu, ia boleh meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia ke tahap lebih baik menjelang 2030. – 5 Oktober, 2019.
Komen