15 pemacu pertumbuhan ekonomi Wawasan Kemakmuran Bersama


Ragananthini Vethasalam

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 memberi penekanan terhadap 15 industri baru untuk mengurangkan pergantungan terhadap industri dan komoditi utama. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 5 Oktober, 2019.

WAWASAN Kemakmuran Bersama (WKB) kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dilancarkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini, mengenal pasti 15 industri dan sektor baru sebagai bidang utama untuk memacu pertumbuhan negara dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Satu bidang pertumbuhan akan menjadikan Malaysia sebuah pusat fintech untuk Kewangan Islam.

Tenaga yang boleh diperbaharui adalah satu lagi segmen baru muncul di Malaysia, dan ini termasuk sumber tenaga dari gelombang, solar, alga, hidro mini, angin, geo-haba dan bio-massa.

Penekanan terhadap semua sektor yang sedang berkembang ini adalah selaras dengan rancangan wawasan untuk mengurangkan pergantungan tinggi Malaysia terhadap industri dan komoditi utama, ia didedahkan dalam pelancaran WKB oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Kebergantungan terhadap komoditi Malaysia dibuktikan dengan kenaikan eksport produk minyak dan gas, yang melonjak dari 6% pada 1989 kepada 15.5% pada 2018.

Tetapi pergantungan yang tinggi terhadap komoditi ditekankan sebagai faktor risiko terhadap ekonomi.

Oleh itu, memberi lebih tumpuan kepada produk hiliran, yang dipanggil inisiatif Komoditi Malaysia 2.0 dalam pelan visi, adalah satu lagi daripada 15 bidang.

Satu lagi bidang pertumbuhan utama yang dicadangkan ialah sektor ekonomi hijau, yang termasuklah pengeluaran produk mesra alam dan gas asli (LNG) serta bangunan hijau.

Putrajaya juga berusaha mengubah negara menjadi hub Asean untuk logistik, teknologi dan penyelidikan serta pembangunan untuk menarik syarikat memilih Malaysia sebagai pangkalan yang berpotensi.

Sektor lain di dalam 15 pemacu utama adalah membangunkan rangkaian pengangkutan yang mampan bagi logistik dan kesambungan, pembuatan, bekalan dan perkhidmatan untuk Industri 4.0.

Pelancongan juga dianggap sebagai pemacu utama di bawah pelan visi, dengan tumpuan kepada eko-pelancongan, pelancongan perubatan, warisan dan pengalaman.

Aktiviti ekonomi lain yang dikenal pasti sebagai pemacu pertumbuhan ialah pertanian menggunakan teknologi pintar dan bernilai tinggi, perkhidmatan menggunakan teknologi canggih, industri kandungan untuk animasi, hiburan dan budaya, ekonomi maritim dan pesisir serta makanan halal. – 5 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen