Negara bermaruah antara 3 matlamat WKB2030


Ragananthini Vethasalam

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dilancar hari ini untuk membentuk Malaysia yang bermaruah dengan kekayaan diserakkan dengan adil saksama. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 5 Oktober, 2019.

PEMBANGUNAN untuk semua untuk menangani jurang kekayaan dan pendapatan seterusnya membina sebuah negara yang bersatu, makmur dan bermaruah adalah tiga matlamat teras Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dilancarkan oleh perdana menteri hari ini.

Matlamat pertama untuk memastikan pembangunan yang dilakukan adalah untuk semua bermaksud penstrukturan semula ekonomi supaya menjadi lebih progresif, berdasarkan pengetahuan dan nilai tambah tinggi dengan penglibatan semua warga pada setiap tahap pembangunan.

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi sebelum ini berkata, matlamat ini akan dicapai menerusi penggunaan teknologi, inovasi dan hasil penyelidikan dan pembangunan.

Tumpuan juga akan lebih banyak diberikan kepada sumber yang boleh merangsang ekonomi digital, industri aero angkasa, pertanian bijak dan perkhidmatan yang akan menyokong perjalanan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Putrajaya juga akan mengukuhkan industri sedia ada yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi.

Matlamat kedua untuk menangani jurang pendapatan dan kekayaan adalah untuk merapatkan kesenjangan ekuiti. Ini termasuklah menangani masalah jurang pendapatan rentas kumpulan pendapatan, etnik, dan wilayah untuk melindungi dan memperkasa warganya bagi memastikan tiada pihak yang ketinggalan.

Matlamat terakhir pula tertumpu kepada pembangunan negara yang bersatu, makmur dan bermaruah.

Ia akan membolehkan Malaysia menjadi kuasa ekonomi Asia.

Matlamat akhir wawasan yang digubal kerajaan Pakatan Harapan adalah untuk menyediakan standard kehidupan yang baik kepada semua rakyat Malaysia menjelang 2030.

Ia adalah akujanji kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang ekonominya berkembang baik dan serakan kekayaan dapat dilakukan dengan adil saksama merentas kumpulan pendapatan, etnik dan wilayah.

Ia juga bermatlamat mengukuhkan kestabilan politik, memastikan kemakmuran dan perpaduan warganya yang meraikan kepelbagaian etnik dan budaya yang merupakan asas pembentukan Malaysia.

WKB dilancarkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini. – 5 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen