8 sebab Malaysia perlukan WKB2030


Sheridan Mahavera

Putrajaya melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 5 Oktober, 2019.

PUTRAJAYA sudah mengenal pasti lapan sebab punca ekonomi Malaysia berada dalam keadaan sekarang menyebabkan majoriti rakyat merungut tentang gaji tidak meningkat sedangkan kos sara hidup terus naik.

Lapan sebab ini menjadi cabaran utama yang perlu ditangani pentadbiran Pakatan Harapan menerusi agenda pembangunan ekonomi 10 tahunnya, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

WKB bermatlamat untuk pembangunan negara yang bersatu dan bermaruah yang membolehkan kekayaan Malaysia diserakkan secara adil saksama, lantas memastikan tiada daerah, kelas atau kaum yang ketinggalan.

WKB2030 dilancarkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di pusat konvensyen KLCC pagi ini.

Menurut dokumen dikeluarkan Putrajaya, lapan faktor tersebut adalah:

*Potensi pembangunan Malaysia tidak digembeleng sepenuhnya dan kepelbagaian ekonomi masih tidak tercapai.

Pertumbuhan ekonomi negara masih jauh ketinggalan berbanding China dan beberapa negara Asean lain, dan komoditi seperti produk minyak dan gas masih menjadi sumber utama eksport sebanyak 15.5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

*Sebahagian besar segmen industri Malaysia masih berada dalam kategori nilai ditambah yang rendah dan penggunaan teknologi tinggi masih rendah.

Sektor pembuatan dan perkhidmatan kedua-duanya menyumbang 79% KDNK, tetapi hanya 37% pembuatan dan 20% perkhidmatan menggunakan teknologi tinggi yang memerlukan pekerjaan upah dan kemahiran tinggi.

*Perkongsian kekayaan negara dengan pekerja, diukur dalam aspek pampasan pekerja (CE) kepada KDNK rendah, hanya sekitar 35.7%.

Berbanding CE Singapura (39.7%), Korea Selatan (45.7%) dan Australia (47.2%).

*Wujud jurang pendapatan yang meluas antara kumpulan pendapatan, etnik dan wilayah.

Putrajaya hari ini melancarkan agenda pembangunan ekonomi 10 tahun yang bermatlamat untuk memastikan serakan kekayaan negara berlaku dengan adil dan saksama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2019.

*Ekonomi Bumiputera tidak selari dengan pembangunan ekonomi negara.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan kerajaan Barisan Nasional untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera, sumbangan mereka kepada pertumbuhan ekonomi masih kecil, hanya 28% daripada KDNK.

*Monopoli dan pencatutan wujud dalam rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan negara yang menyebabkan pengguna membayar harga lebih tinggi.

*Rasuah dan salah guna kuasa mengekang pertumbuhan ekonomi menyebabkan ketirisan dana kerajaan.

Ketika pentadbiran rejim BN, kontrak kerajaan bernilai RM1 trilion dikeluarkan, 50% daripadanya dianugerahkan kepada syarikat Bumiputera. Tetapi, sumbangan PKS Bumiputera kepada KDNK pada 2015 hanyalah 9%.

Usaha meningkatkan ekonomi Bumiputera ketika zaman BN diselubungi dengan amalan korupsi dan ketirisan.

*Faktor terakhir adalah kesejahteraan dan perpaduan negara terancam kerana kesenjangan sosio ekonomi yang berterusan ini. – 5 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen