KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) merayu agar kerajaan mengkaji semula penutupan 19 Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM).
Presiden Cuepacs Azih Muda berkata pentutupan sembilan institut dalam fasa pertama sejak Julai lalu menyebabkan 375 kakitangan dipindahkan ke penempatan baharu, jauh dari tempat asal.
“Kita difahamkan yang 375 staf ini ditukar ke merata tempat padahal sebelum penutupan itu kami difahamkan dahulu kata nak dihantar berdekatan tetapi rupanya dipindah ke negeri lain.
“Kalau dalam negeri sama pun jauh, tidak masuk akal dan mereka diberikan tugas yang lain daripada apa yang mereka lakukan sebelum ini,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur.
Beliau percaya keputusan tersebut akan menyebabkan perkhidmatan kesihatan di negara ini terjejas selain daripada kesan kepada kakitangan yang bertugas di ILKKM.
Katanya, Cuepacs kecewa dengan tindakan itu kerana kakitangan ILKKM tersebut melahirkan pekerja pakar dalam perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
“... Tetapi akhirnya peluang ini tak ada lagi. Saya tak tahu kalau ada pihak swasta yang berminat dengan mereka ini,” katanya di Wisma Cuepacs.
Fasa pertama penutupan itu melibatkan ILKKM di Pasir Mas, Kulim, Port Dickson, Serian, Jerantut, Segamat, Kluang, Batu Rakit dan di Pulau Pinang sejak Julai lalu.
Azih juga berkata, Cuepacs akan berjumpa dengan Menteri Kesihatan Malaysia Dr Dzulkefly Ahmad bagi meminta supaya dikaji semula keputusan itu.
“Kami rayu kepada menteri kesihatan supaya kaji balik cadangan penutupan ini dan membatalkan penutupan 19 ILKKM ini demi kebajikan kakitangan dan pekerja di bawah KKM sendiri,” katanya.
Sidang media hari ini turut dihadiri wakil 20 kesatuan sekerja di bawah KKM. – 4 Oktober, 2019.
Komen