Naib canselor Unisza, UMT hanya mengampu, kata Cuepacs


SM Amin

Presiden Cuepacs Azih Muda juga percaya naib canselor kedua-dua universiti bertindak demikian kerana takut hilang jawatan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 4 Oktober, 2019.

DUA naib canselor universiti yang terlibat dengan penggabungan di Terengganu hanya mengampu kerajaan kerana begitu pantas menyokong cadangan itu, kata kesatuan sekerja kakitangan awam.

Mereka sepatutnya mengutamakan nasib 1,600 kakitangan yang bakal terjejas dengan gabungan berkenaan, kata Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Presidennya Azih Muda juga percaya naib canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bertindak demikian kerana takut hilang jawatan.

“Naib canselor mengampu takut hilang jawatan. Kalau cakap tidak setuju dia kena buang, hilang jawatan.

“Kita kesal pucuk pimpinan ini memberi kenyataan sebegitu cepat tanpa mengambil kira sensitiviti mereka yang terlibat dengan universiti ini,” katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur.

Beliau merujuk kenyataan bersama Dr Nor Aieni Mokhtar dari UMT dan Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan dari UniSZA pada 19 September lalu yang menyokong gabungan itu.

Cadangan dua universiti itu menggunakan Konsep Gabungan Sepenuhnya, seperti diputuskan Kabinet untuk mengukuhkan keupayaan kedua-dua universiti itu.

Penggabungan itu dirancangan dalam 10 lonjakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

Namun Cuepacs percaya akan ada kakitangan yang diberhentikan walau rancangan tersebut pada masa ini tidak menyatakan sekiranya bilangannya akan dikurangkan, kata Azih.

Ia akan memberi bebanan kepada kakitangan ini kerana perlu meninggalkan pekerjaan dalam keadaan ekonomi waktu ini, katanya.

“Kita tidak tengok lagi modus operandinya macam mana sama ada kakitangan ini separuh akan dikeluarkan, atau diletakkan di bawah satu bumbung, diberi pilihan, belum lagi.

“Kami menjangkakan tidak semua akan diambil. Mungkin ada yang tidak akan diambil.

“Kalau ini berlaku, dengan kos sara hidup yang tinggi dan keadaan ekonomi yang tidak menentu, tiba-tiba terpaksa meninggalkan alam pekerjaan. Ini satu beban yang berat,” katanya.

Oleh itu mereka berharap pandangan semua pihak terbabit akan diambil kira sebelum menggabungkan UMT dan UniSZA.

Beliau juga berkata gabungan itu tidak sesuai kerana  kedua-dua universiti tersebut mempunyai aliran yang berlainan.

“UniSZA ini lebih berorientasikan agama walaupun mutakhir ini telah beralih kepada perubatan, teknologi dan sebagainya.

“UMT adalah cawangan yang asalnya daripada UPM untuk maritim, mengkaji mengenai hidupan laut yang amat jarang universiti sebegini ada.

“Dua matlamat berbeza ini tidak boleh duduk bersama. Cuepacs merayu kepada kerajaan khususnya Menteri Pendidikan supaya hasrat untuk menggabungkan dua universiti tidak diteruskan,” ujarnya.

Turut hadir dalam sidang media itu dalam salam wakil Kesatuan Kakitangan Universiti Malaysia. – 4 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen