MALAYSIA perlu teruskan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) buat masa ini, kata Anwar Ibrahim.
“Perlu teruskan SST dan tambah baik, buat pembaharuan dan penyesuaian mana yang perlu sebelum kita pertimbangkan sekali lagi perubahan,” kata ahli Parlimen Port Dickson itu pada Persidangan Perlembagaan dan Peraturan Perundangan LAWASIA di Petaling Jaya, hari ini.
Katanya, walaupun Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sistem cukai yang lebih telus dan cekap, ia bermakna setiap orang dikenakan cukai.
“Adakah adil bagi semua orang bayar cukai sedangkan mereka berada dalam kumpulan berpendapatan rendah?” soal Anwar.
Presiden PKR itu berkata demikian apabila ditanya sama ada kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu melaksanakan semula GST yang dikatakan sistem cukai yang lebih cekap.
Isu mengenai GST jadi perbincangan semula selepas Perda Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan mungkin akan menimbang mengenakan semula cukai tersebut jika rakyat mahu.
Anwar berkata cekap atau tidak GST, persoalannya adakah Malaysia bersedia mengambil pendekatan itu untuk mengutip cukai.
“Terutamanya apabila masih ramai yang berpendapatan rendah. Memanglah, mula-mula payah kerana rakyat kena bayar dua kali ganda atau bayar lebih, tetapi Menteri Kewangan Lim Guan Eng kata akan buat penyesuaian tertentu, jadi kita patut teruskan (SST).”
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan PH tiada halangan untuk mengkaji semula sistem cukai itu bagi memastikan golongan miskin tidak terbeban.
“Sistem cukai yang lebih baik juga dapat mengekang kebocoran,” kata bekas menteri kewangan itu. – 4 Oktober, 2019.
MENYUSUL
Komen