Samirah minta beberapa kali untuk masuk tempat kejadian, kata saksi  


Alfian Z.M. Tahir

Samirah Muzaffar dituduh membunuh suaminya CEO Cradle Fund Nazrin Hassan pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 4 Oktober, 2019.

TERTUDUH pertama dalam perbicaraan kes bunuh CEO Cradle Fund Nazrin Hassan, Samirah Muzaffar yang “kelihatan gelisah”, beberapa kali meminta kebenaran polis untuk memasuki tempat kejadian selepas kebakaran dipadamkan, kata saksi kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shahida Wan Omar, bekas pegawai polis Nur Ronal Adnes Amir yang merupakan saksi ke-12 kes berkenaan, juga berkata Samirah kelihatan tidak tenang dan hanya mahu masuk ke bilik yang terbakar sebelum itu.

“Saya jumpa pemilik rumah yang diteman dua jirannya ketika itu. Keadaan emosinya tidak stabil.

“Dia tidak menangis tetapi kelihatan tidak senang dan mahu naik ke bilik berkenaan,” kata Nur Ronal ketika diminta menerangkan situasi itu oleh Wan Shahida. 

“Dia tanya saya sama ada dia boleh naik tingkat atas untuk lihat mayat suaminya tetapi dia tidak dibenarkan berbuat demikian kerana asap masih tebal,” tambahnya.

Nur Ronal berkata, Samirah hanya dibenarkan naik selepas situasi dalam keadaan terkawal, dan menambah dia juga naik ke tingkat atas bersama suspek utama ke dalam bilik berkenaan.

“Dia hanya duduk sebelah suaminya, di sebelah bahagian kepala. Dia tidak menangis dan 10 minit kemudian dia turun,” katanya. 

Samirah kemudiannya sekali lagi meminta untuk ke bilik berkenaan, kali ini untuk mengambil barangan berharga milik Nazrin.

“Adakah dia beritahu kamu apa barangan berharga yang mahu diambilnya?” soal DPP.

“Saya tidak tahu tetapi saya naik bersamanya, dia mengambil sebuah beg dan terus ke meja kecil bersebelahan katil. Dia mengambil sesuatu tetapi saya tidak pasti namun dia ada beritahu saya barang itu sudah rosak. Saya tidak pasti sama ada ianya telefon bimbit atau jam tangan,” kata Nur Ronal. 

Saksi juga berkata Samirah turut mengambil kunci pendua daripada ladi dan juga sejumlah matawang asing.

“Dia tunjukkan saya wang berkenaan tetapi saya tidak tahu berapa jumlahnya. Dia letakkan kunci dan wang dalam beg,” katanya.

Nur Ronal sekali lagi memberitahu mahkamah di hadapan Hakim Ab Karim Ab Rahman bahawa Samirah meminta untuk naik buat kali ketiga namun tidak dibenarkan masuk ke tempat kejadian.

Kali ini, kata Nur Ronal, Samirah memberitahunya dia perlu bersihkan bilik kerana keluarga itu tidak pernah menggaji pembantu rumah. 

“Oleh kerana tak dibenarkan masuk, dia masuk ke bilik lain, dan kemudian ke bilik lain. Dia memberitahu saya, dia perlu bersihkan rumah kerana tiada pembantu rumah,” katanya. 

Pada Rabu peguam bela Muhammad Shafee Abdullah bertanya saksi sama ada dia tahu jam jenama Tissot dan beberapa matawang asing hilang selepas kebakaran. 

Anggota bomba Mohamad Afzan Majid menjawab yang dia tidak tahu mengenai barang yang hilang dan hanya dimaklumkan selepas laporan polis dibuat oleh tertuduh berhubung perkara itu.

Samirah bersama dua anaknya dituduh membunuh suaminya Nazrin dan cuba menyembunyikannya dengan mengatakan suaminya mati akibat kebakaran yang berpunca daripada telefon bimbitnya meletup.

Polis juga turut memburu seroang pembantu rumah warga Indonesia Eka Wahyu Lestari. Dia dipercayai digaji oleh keluarga berkenaan. Eka juga didakwa tanpa hadir kerana membunuh. 

Kes berkenaan yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut, diklasifikasikan sebula sebagai kes bunuh selepas forensik menemui petrol dalam bilik berkenaan. 
 
Bedah siasat kedua kemudiannya mendedahkan bahawa Nazrin mengalami luka di kepala yang tidak kelihatan disebabkan oleh letupan telefon.

Perbicaraan bersambung pada 8 November. – 4 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen