Ada cadangan lebih baik yang untungkan rakyat, kata Guan Eng


Ragananthini Vethasalam

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata cadangan berhubung pengambilalihan konsesi lebuh raya bertol yang dihantar oleh Khazanah Nasional jauh lebih menarik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 2019.

CADANGAN berhubung pengambilalihan konsesi lebuh raya bertol yang dihantar oleh Khazanah Nasional jauh lebih menarik, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini.

Beliau berkata kementerian itu tidak menerima cadangan oleh Hong Kong menerusi syarikat ekuiti swasta RRJ Capital berkenaan pengambilalihan berkenaan tetapi menambah bahawa ada cadangan lain yang diketahui lebih menarik.

“Saya tak menerimanya (cadangan RRJ Capital)…mungkin Khazanah telah menerimanya. Saya tak terlibat dalam Khazanah.

“Tetapi Kementerian Kewangan telah menerima cadangan lain daripada Khazanah yang lebih menarik dan memberi faedah kepada rakyat,” katanya kepada pemberita di Putrajaya ketika diminta mengulas mengenai cadangan RRJ untuk memperoleh kepentingan dana kekayaan kerajaan di lebuh raya konsesi.

Menurutnya, apabila ada tawaran daripada entiti perniagaan pastinya ada elemen keuntungan.

“Jika tak untung mereka tak mahu membeli.

“Bahkan cadangan daripada Khazanah tidak mempunyai unsur keuntungan, jadi ia pasti lebih baik untuk rakyat,” katanya.

Lim menambah walaupun tidak ada yang salah untuk perniagaan membuat keuntungan, namun isu mengambil alih syarikat konsesi lebuh raya adalah lebih baik jika difokuskan oleh sektor awam.

“Adakah kita nak Lebuhraya Plus untuk kepentingan awam atau peribadi?,” katanya.

The Edge semalam melaporkan bahawa jika tawaran RRJ diterima, syarikat itu akan mengurangkan kadar tol sebanyak 20%.

Khazanah juga memberitahu The Malaysian Insight menerusi emel semalam bahawa terdapat beberapa cadangan berhubung lebuh raya dan ia telah diserahkan sendiri kepada kerajaan.

“Cadangan itu adalah untuk dipertimbangkan oleh kerajaan dan menentukan apa yang terbaik untuk rakyat dan negara,” menurut jawapan itu.

Khazanah bagaimanapun tidak mendedahkan pihak mana yang mahu memiliki PLUS. – 4 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen