SSM gugur kes terhadap bekas pengarah SRC International


Bede Hong

SSM gagal menyampaikan writ saman terhadap Suboh Md Yassin (gambar), Nik Faisal Ariff Kamil dan Gandingan Mentari Sdn Bhd. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2019.

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini melepaskan tanpa membebaskan tiga orang termasuk seorang saksi kes SRC International Sdn Bhd kerana gagal mengisytiharkan penyata kewangan tahun 2017.

Hakim Manira Mohd Nor membenarkan permohonan pendakwaan untuk menarik kes selepas dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Fazarul Mohd Ezhar yang Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tidak dapat menyerahkan writ saman kepada bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin.

Suboh adalah saksi pendakwaan ke-42 kes seleweng SRC International melibatkan Najib Razak yang berdepan tujuh pertuduhan.

SSM juga gagal menyampaikan writ saman kepada bekas CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd.

Mahkamah dimaklumkan yang cubaan untuk menyampaikan saman itu sebelum ini juga gagal. Saman itu melibatkan kesalahan di bawah Akta Syarikat 1965 yang bukan kesalahan jenayah dan jika sabit kesalahan hanya boleh dihukum denda.

Nik Faisal, susuk penting dalam kes SRC International masih lagi diburu dan dipercayai berada di Indonesia.

Semasa perbicaraan kes SRC International, Suboh, 68, berkata beliau dan isteri melarikan diri ke Bangkok, Thailand selepas skandal penyelewengan 1MDB terbongkar.

Pada November 2015, beliau kemudian pergi ke Abu Dhabi untuk disoal siasat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Turut disoal ketika itu ialah Low Taek Jho.

Najib berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berkaitan dana SRC International.

Perbicaraan bermula 3 April lalu dan pendakwaan menyimpulkan kes pada 27 Ogos selepas memanggil 57 saksi. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan menentukan sama ada Najib perlu membela diri pada 11 November.

Sekiranya Najib dihendaki membela diri, perbicaraan SRC International akan disambung semula pada 3 Disember dengan saksi pembelaan akan dipanggil memberi keterangan. – 4 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen