Masalah projek terbengkalai di Selangor tiada penghujungnya


Noel Achariam Low Han Shaun

Sejak 2008 hingga 2017, jumlah keseluruhan projek terbengkalai di Selangor ialah 114 dan setakat ini, kerajaan negeri berjaya menyelesaikan 53 daripadanya. – Grafik oleh The Malaysian Insight, 20 April, 2017.

SELANGOR, salah satu negeri terkaya di negara ini berdepan banyak masalah projek pembinaan bangunan komersial yang terbengkalai.

Sejak 2008 hingga 2017, kerajaan negeri diterajui PKR, PAS dan DAP itu cuba memulihkan sembilan projek komersial terbengkalai, sementara 105 projek perumahan terus terbiar di tapak pembinaan.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan projek terbengkalai sebanyak 114. Kejayaan mereka setakat ini sejak mengambil alih pentadbiran negeri itu ialah menyelesaikan 53 projek terbengkalai, terdiri daripada lima projek komersial dan 48 pembinaan perumahan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Negeri Iskandar Abdul Samad berkata selain ekonomi yang lemah, cabaran dihadapi Selangor ialah bagaimana mendapatkan dana mencukupi bagi memulihkan projek terbengkalai itu.

“Pada 2015, kerajaan negeri memperuntukkan RM20 juta untuk memulihkan projek terbabit tetapi dana itu hanya cukup untuk dua projek. Kami akan memerlukan ratusan juta jika hendak menyelesaikan semua projek berkenaan,” katanya.

Iskandar yang juga Adun Cempaka berkata walaupun keutamaan diberikan kepada projek perumahan, kerajaan negeri juga cuba memfokuskan usaha mereka untuk membantu lot komersial.

“Kami bukan saja fokus kepada memulihkan projek perumahan terbengkalai di negeri itu, tetapi kawasan komersial juga dan ia termasuk rumah kedai.

“Dasar kerajaan negeri menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) ialah untuk menyediakan penyelesaian bagi projek seperti itu dan bertindak sebagai perantara,” katanya.

Antara dasar LPHJ dalam membantu pembeli ialah menubuhkan jawatankuasa bertindak bersama di mana pembeli boleh menyelaras bersama pihak berkuasa. Semua tindakan perlu mendapatkan sekurang-kurangnya persetujuan 85% pembeli terlebih dulu.

Salah satu langkah yang diambil ialah meminta semua pemilik rumah kedai membentuk jawatankuasa bertindak bersama.

“Kami juga ada jawatankuasa projek terbengkalai untuk membantu menyelaras isu dihadapi pembeli. Kami akan memanggil semua pihak untuk membantu menyelesaikan isu mereka.

“Satu lagi isu ialah oleh sebab projek terbengkalai bertahun lamanya, ada yang lebih 20 tahun, bank tidak mahu memberikan pinjaman,” kata Iskandar.

LPHS juga mengeluarkan surat pengesahan projek terbengkalai itu supaya pembeli boleh menstrukturkan semula pinjaman bank mereka atau mengurangkan bayaran ansuran bulanan.

Iskandar berkata LPHS juga mengadakan perbincangan dengan penyelesai yang terjejas dan mencari jalan memulakan semula projek terbengkalai itu.

“Perbincangan itu diadakan bersama semua jabatan teknikal seperti pejabat tanah, pihak berkuasa tempatan, Syabas, TNB, IWK dan agensi lain termasuk bank supaya pemulihan projek itu boleh dipercepat.

“Jika kos projek itu meningkat, LPHS akan melantik juruukur bahan untuk mentaksirkan kos memulihkan semula projek dan bertanya kepada pembeli sama ada mereka mahu meneruskan projek itu atau tidak.”

Iskandar berkata jika projek itu mengalami kerugian, LPHS akan mencadangkan mana-mana kontraktor yang berminat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk memutuskan sama ada projek itu akan mendapat bajet khas untuk diteruskan.

“LPHS juga boleh mencadangkan kepada kerajaan negeri berhubung tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil bagi memastikan hak pembeli terjaga.

“Selain itu, tanah itu juga boleh dituntut oleh kerajaan negeri jika berlaku pelanggaran peruntukan dalam Kanun Tanah Negara 1965.”

Projek terbengkalai kebanyakannya membabitkan kawasan komersial mewah seperti Subang Jaya, Petaling Jaya, Klang dan Selayang.

Kerajaan negeri pada masa ini masih belum memulihkan projek komersial terbengkalai membabitkan 1,784 unit rumah kedai dan pejabat, satu blok komersial dan lapan lot perindustrian.

Walaupun jumlah projek terbengkalai agak tinggi, Iskandar berkata pihak berkuasa tempatan akan terus meluluskan projek jika pemaju memenuhi semua syarat.

“Kami sudah mengarahkan pihak berkuasa tempatan memantau perkembangan pembangunan itu. Kami tidak boleh menghentikan pembangunan di negeri ini.

“Bagi projek Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, mereka akan menyiapkan 70% projek mereka sebelum boleh menjual hartanah itu kepada orang ramai. Ini bagi meyakinkan pembeli yang projek itu tidak berdepan masalah,” kata Iskandar.

Setakat ini, kerajaan negeri menyelesaikan 53 projek terbengkalai membabitkan 24,657 unit iaitu termasuk 39 projek berlesen (20,002 unit) dan 14 projek tidak berlesen (4,655 unit). – 20 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen