Pengendali kantin jawab Ramasamy, tiada pelajar boikot gerai bukan Islam


Zaim Ibrahim

Pengusaha dan pengendali kantin di Sekolah Kebangsaan Perempuan Methodist menafikan wujud masalah pergaulan di antara pelajar. – Gambar The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2019.

PENGUSAHA dan pengendali kantin di Sekolah Kebangsaan Perempuan (SK P) Methodist menafikan wujud masalah pergaulan di antara pelajar berbilang kaum di sekolah berkenaan.

Mereka tidak melihat kes pelajar memboikot gerai jualan pengusaha berlainan kaum seperti didakwa berlaku oleh Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy.

Pengendali kantin sekolah itu sejak enam tahun lalu, Che Su Abdul Rahman, 52, berkata beliau melihat pelajar berkenaan bergaul dengan baik dan makan semeja seperti biasa.

“Selama enam tahun di sini tiada isu (pergaulan antara kaum). Pelajar Melayu pun ada beli di gerai kaum Cina. Pelajar bukan Islam pun beli di gerai kaum Melayu.

“Tidak ada isu sampai (pelajar Islam-bukan Islam) tidak bergaul, tidak ada juga satu agama atau satu kaum duduk satu tempat sahaja,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight di sekolah itu.

Beliau melihat tiada masalah pergaulan antara kaum di sekolah itu dan program keagamaan masih berjalan dengan baik di sekolah itu.

“Saya kadang-kadang kena sediakan makanan untuk pelajar yang ada program keagamaan.

“Seperti hari ini, mereka ada program solat dan tulisan Jawi. Tiada sekatan program agama di sekolah ini,” ujar Che Su.

Beliau mengulas kenyataan Ramasamy semalam yang menyebut, masalah pergaulan antara kaum di sekolah itu membimbangkan pihak sekolah dan ada pelajar muslim menjauhi gerai bukan Islam.

Che Su berkata perkara itu tidak berlaku kerana gerai diusahakan peniaga bukan Melayu tetap mendapat sambutan.

“Gerai mi dan minuman yang dijual gerai Cina pun ada pelajar Melayu beli,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy mendakwa wujud isu lain di SK (P) Methodist Pulau Pinang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2019.

Kantin sekolah itu mempunyai empat gerai dikendali pengusaha Melayu yang menjual pelbagai makanan dan dua gerai dikendali bukan Melayu yang menjual air, roti dan makanan berasaskan mi.

Penjual air, Ang Gaik Looi, 69, juga berkata beliau tidak melihat pelajar Islam menjauhi gerai bukan Islam.

Ia termasuk gerai menjual makanan berasaskan mi itu yang diakuinya menggunakan bahan-bahan masakan yang halal.

“Semuanya daripada bahan yang halal. Kami perlu ikut peraturan daripada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menyediakan makanan yang halal di kantin sekolah,” jelas beliau.

Tambahnya, beliau tidak terasa hati jika ada pelajar Islam yang tidak membeli di gerainya kerana itu pilihan masing-masing.

SK P Methodist menjadi perhatian ekoran laporan polis dibuat seorang aktivis, Muhsin Abdul Latheef yang mendakwa pentadbir sekolah membuat bacaan doa Kristian semasa satu majlis anugerah cemerlang.

Ia disangkal Ramasamy pada Rabu yang berkata acara itu hanyalah ucapan perpaduan untuk tangani masalah pergaulan antara kaum di sekolah itu.

Pemimpin DAP itu juga mendakwa masalah pergaulan tersebut membimbangkan.

Katanya, ucapan itu dibacakan apabila wujudnya tabiat kalangan pelajar Islam yang hanya membeli makanan daripada gerai-gerai orang Islam sahaja dan tidak membeli di gerai bukan Islam.

Dakwanya, pihak sekolah juga memutuskan untuk tidak membacakan sebarang doa agama tetapi hanya ucapan perpaduan.

Sekolah tersebut diberi peringatan tegas oleh Kementerian Pendidikan yang turut mempertimbangkan tindakan lain atas penganjuran doa berkenaan.

Ketua Pengarah Pelajaran Amin Senin pada Ahad lalu berkata kejadian di sekolah itu melanggar garis panduan berhubung pengurusan acara serta sambutan untuk bahagian atau jabatan institusi bawah kementerian.

Polis juga sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan memanggil beberapa saksi. – 4 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen