Anwar sokong kehadiran Dr Mahathir pada Kongres Maruah Melayu 


Timothy Achariam

Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak diundang ke Kongres Maruah Melayu yang akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam Ahad ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 3 Oktober, 2019.

ANWAR Ibrahim hari ini menyatakan sokongannya berhubung kehadiran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada Kongres Maruah Melayu yang dijadualkan berlangsung Ahad ini.

residen PKR itu berkata, mesej yang akan disampaikan oleh Dr Mahathir pada kongres berkenaan adalah meliputi seluruh rakyat Malaysia.

“Saya percaya beliau akan memberikan mesej yang meliputi kepentingan semua rakyat Malaysia.

“Sekiranya ia membawa kebaikan, saya tiada bantahan,” katanya.

Anwar bagaimanapun tidak hadir pada kongres yang akan diadakan di Stadium Malawati Shah Alam kerana tidak diundang.

Dr Mahathir berdepan kritikan selepas mengumumkan akan hadir pada kongres berkenaan sebagai pemimpin parti Melayu dan bukan sebagai perdana menteri.

Pengkritiknya, termasuk beberapa orang dalam Pakatan Harapan, menyuarakan perkara itu kerana beliau harus dilihat sebagai perdana menteri yang mewakili semua rakyat Malaysia.

Kongres berkenaan dianjurkan oleh empat universiti awam iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Presiden PAS Abdul Hadi Awang turut menyatakan kesediaannya untuk hadir pada program berkenaan manakala Umno akan menghantar setiausaha agungnya Annuar Musa. – 3 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen