Beg berisi mercun ditemui di bilik Nazrin, kata saksi


Alfian Z.M. Tahir

Samirah Muzaffar yang dituduh membunuh suaminya kelihatan tenang di mahkamah hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 3 Oktober, 2019.

SEBUAH beg berisi mercun ditemui di dalam bilik selepas mayat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan ditemui selepas api dipadamkan , kata anggota bomba dalam perbicaraan hari ini.

Stanley Sigau Nyalang memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa dia mengesyaki tempat tidur dan dinding di belakang katil itu dibakar menggunakan mercun.

“Kami dihantar ke rumah itu pada 14 September. Selepas api dipadamkan, saya masuk ke dalam bilik kerana saya adalah pegawai yang bertanggungjawab. Saya menemui beg plastik berisi mercun di dalam bilik di sebelah kabinet televisyen.

“Saya kemudian melihat tanda terbakar di dinding di belakang katil dan seluruh katil itu terbakar seolah-olah ia dibakar dengan menggunakan mercun.
Namun saya tidak dapat menentukan sama ada ia disebabkan barang yang senang terbakar itu,” kata Stanley yang merupakan saksi ke-8.

Membaca dari kenyataan kesaksian, anggota bomba itu juga berkata dia melihat mayat Nazrin terbaring di lantai di dalam bilik dengan darah segar yang masih kelihatan di kepalanya.

Dia kemudian diarahkan oleh pegawai kanan untuk tidak menyentuh badan.

“Selepas kami hilangkan asap, saya melihat tubuhnya yang berseluar dalam di atas lantai, saya melihat lubang di kepalanya seakan ia dihentak dengan objek tetapi saya tidak dapat pastikan. Lubang berukuran sekitar 3cm.

“Wajah, dada dan kaki kanannya terbakar dengan teruk,” katanya.

Pasukan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat kemudian tiba dan mengambil alih tempat jenayah bagi siasatan, katanya. – 3 Oktober, 2019.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen