ANWAR Ibrahim hari ini dilihat menenangkan perdebatan hangat mengenai isu penetapan waktu beliau menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dengan berkata bahawa terdapat perbincangan yang kerap dengan Dr Mahathir mengenai isu itu.
“Terdapat perbincangan mengenai kerangka waktu. Untuk mengatakan tidak ada perbincangan, itu tak betul,” kata Anwar yang merupakan presiden PKR.
“Terdapat perbincangan tentang kerangka masa tetapi ia terbuka kepada tafsiran,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog dengan pelajar UiTM di kampus Shah Alam hari ini.
Beliau berkata walaupun terdapat persefahaman yang jelas antara beliau dan Mahathir mengenai perkara itu, namun tidak ada tarikh yang ditetapkan dalam perbincangan mereka.
“Terdapat persefahaman yang jelas, melainkan penetapan tarikhnya,” kata Anwar lagi.
Kenyataan Anwar itu dibuat selepas Dr Mahathir awal hari ini mengatakan bahawa sukar untuk beliau menetapkan tarikh kerana beban kerja yang beliau tanggung ketika ini.
Bagaimanapun, Anwar berkata beliau berpuas hati dengan pertemuannya dengan Dr Mahathir dan jaminan yang diberikan perdana menteri itu, bahkan sebelum kemenangan Pakatan Harapan pada Mei tahun lepas.
“Saya berpuas hati dengan jaminannya yang berterusan. Saya jamin bahawa beliau akan kotakan janji dengan menyerahkan kuasa kepada saya.
“Lebih penting lagi, janji itu adalah berdasarkan persetujuan PH, yang telah diputuskan sebelum pilihan raya,” katanya kepada pemberita.
Dr Mahathir menerima kritikan hebat daripada Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR Dr Syed Husin Ali kerana tidak mempunyai rancangan jelas peralihan kuasa pentadbiran.
Syed Husin juga mengkritik Mahathir kerana memperkecilkan kemampuan Anwar untuk memimpin, dan menyifatkan ia adalah sebuah pengkhianatan dan penghinaan terhadap PH.
Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia Syed Saddiq Abdul Rahman kemudian bertindak balas dengan mengkritik Syed Husin dengan mengatakan Dr Mahathir akan menghormati janjinya untuk meletak jawatan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15.
Kedua-dua ahli politik itu telah mengulangi kepercayaan mereka antara satu sama lain berhubung Anwar menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri kelapan. – 3 Oktober, 2019.
Komen