ANAK bongsu tertuduh bagi pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Samirah Muzaffar telah membuat laporan polis pada September tahun lalu mendakwa bahawa pegawai penyiasat berbohong kepadanya, kata peguam pembelaan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.
Peguam pembelaan, Shafee Abdullah menyoal saksi Inspektor Anestassia Chin Fat sama ada dia mengetahui bahawa remaja lelaki itu pernah membuat laporan polis mendakwa bahawa dia disoal siasat oleh tiga hingga lima orang pegawai polis di bilik soal siasat.
Mahkamah turut diberitahu bahawa remaja itu turut menyatakan dalam laporan tersebut bahawa penyiasat memberitahu dia supaya memberikan kerjasama jika mahu dibebaskan lebih awal.
Anestassia, yang menjadi saksi kelima dalam perbicaraan pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan, dipanggil semula hari ini bagi pemeriksaan balas.
Saksi yang kini bertugas di balai polis daerah Kinabatangan, berkata beliau tidak mengetahui tentang dakwaan tersebut.
“Remaja lelaki itu ditahan reman dari 9 September hingga 12 September tahun lepas,” Shafee memberitahu mahkamah.
“Dalam laporan polis yang dibuatnya pada 22 September, beliau mendakwa bahawa dia disoal siasat oleh tiga hingga lima orang pegawai polis di bilik siasat. Dia diminta untuk bekerjasama dan memberitahu mereka jika dia mahu dibebaskan.
“Selepas dia dibebaskan, dia menyedari bahawa polis berbohong. Polis berkata perkara yang buruk tentang ibunya mengatakan dia seorang pemanah sejak sekolah menengah dan dia keluar membeli petrol pada jam 6 pagi pada 14 Jun tahun lepas.
“Polis juga memberitahu bahawa dia (Samirah) tidak peduli dengan anaknya.”
Shafee bertanya kepada Anestassia sama ada normal bagi seorang remaja lelaki di bawah umur disoal siasat oleh pegawai polis tanpa kehadiran orang dewasa.
Dia berkata dia tidak mengetahui sama ada prosedur itu wujud (untuk membolehkan orang dewasa menemani kanak-kanak semasa soal siasat).
Bagaimanapun, ketika diteliti semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah, Anestassia berkata remaja lelaki itu tidak dipujuk untuk mengaku dan dia dapat berkomunikasi dengannya dalam Bahasa Malaysia ketika disoal siasat tahun lepas.
“Walaupun dia fasih berbahasa Inggeris, dia dapat bercakap dengan saya dan menjawab soalan-soalan saya dalam Bahasa Melayu, dia tidak mengalami tekanan dan saya masih ingat dia tenang dan tidak mengadu kepada saya tentang dipaksa bekerjasama,” kata Anestassia.
Mohd Asnawi kemudian bertanya kepada Anestassia mengapa beliau mengelaskan kes itu sebagai laporan kematian mendadak (SDR) pada hari kejadian.
Dia menjawab bahawa dia mendapat kesimpulan itu kerana tidak ada unsur jenayah yang ditemui di tempat kejadian dan anggota pemadam kebakaran masih belum dapat menentukan punca kebakaran.
“Tidak ada pecah masuk, jadi tidak ada unsur jenayah. Ahli bomba tidak boleh secara spesifik memberitahu kepada saya apa yang jadi punca kebakaran itu.
“Oleh itu, saya mengelaskan kes itu sebagai SDR,” kata Anestassia.
Bekas eksekutif kanan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Samirah Muzaffar, 44, dan dua remaja berusia 14 dan 17 tahun didakwa bersama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang kini masih belum ditemui dalam kes pembunuhan Nazrin.
Mereka didakwa melakukan kesalahan membunuh di sebuah rumah di Rumah Mutiara, Mutiara Damansara antara 11.30 malam pada 13 Jun, 2018, dan 4 pagi pada 14 Jun, 2018.
Perbicaraan akan diteruskan petang ini. – 3 Oktober, 2019.
Komen