Tiada tarikh khusus serah jawatan kerana kerja belum selesai, kata PM


Timothy Achariam Lee Chi Leong

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata sukar menetapkan tarikh untuk melepaskan jawatannya kerana tidak pasti bila akan dapat menyempurnakan tugasnya yang belum selesai.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 3 Oktober, 2019.

TIADA tarikh yang ditetapkan bagi Dr Mahathir Mohamad menyerahkan jawatannya kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim kerana perdana menteri masih ada kerja yang perlu dilakukan.

Dr Mahathir berkata sukar untuk menetapkan tarikh kerana beliau tidak pasti bila akan dapat menyudahkan tugasnya yang belum selesai itu.

“Kita perlu mengkaji keadaan, untuk menetapkan tarikh tertentu. (Apabila) kerja (hanya) separuh jalan atau tidak dibuat (sama sekali), ia sangat sukar,” katanya.

Dr Mahathir, yang dituduh tidak menepati janji untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar, berkata tarikh itu tidak pernah dibincangkan.

“Kami tidak pernah membincangkannya,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata demikian susulan kritikan terhadap beliau oleh Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Syed Husin kerana tidak mempunyai rancangan peralihan yang jelas mengenai persaraannya.

Syed Husin juga mengkritik Dr Mahathir kerana merendahkan keupayaan penggantinya (Anwar) untuk memimpin dan menyifatkannya sebagai pengkhianatan dan penghinaan terhadap Pakatan Harapan (PH).

“Hakikatnya, Majlis Presiden PH boleh meminta Dr Mahathir untuk bersara sekarang kerana pihak berkuasa tertinggi yang boleh menentukan bila beliau patut bersara.

“Dr Mahathir tidak mempunyai kuasa untuk memutuskan bila beliau hendak menyerahkan kuasa.

“Sudah jelas Dr Mahathir tidak jujur, dan jika beliau betul sayangkan negara, beliau perlu letak jawatan dan biar Anwar yang 22 lebih muda untuk melakukan tugas itu,” katanya,” kata Syed Husin.

Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman menjawab dengan mengkritik Syed Husin, mengatakan Dr Mahathir akan menghormati janjinya untuk turun sebelum pilihan raya umum ke-15.

PH sebelum ini mengakui tiada tempoh tetap bagi peralihan kuasa itu.

 Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH) Saifuddin Abdullah berkata pada Selasa, mesyuarat Majlis Presiden PH sebaliknya hanya membuat keputusan mengenai Anwar sebagai pengganti.

“PH cuma mempunyai keputusan dan perjanjian bahawa selepas Dr Mahathir, Anwar adalah perdana menteri seterusnya. Kita tidak bincangkan tempoh kerana mereka saling memahami.

“Mereka (Dr Mahathir dan Anwar) juga adalah tokoh besar yang seharusnya dapat menentukan waktu terbaik untuk peralihan kuasa dan sebagainya,” katanya sebagaimana dilaporkan Bernama. – 3 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen