Harga sekarang rendah tapi Kampong Bharu kekal milik Melayu


SM Amin

Tidak banyak pembangunan dapat dijalankan di kawasan tanah Kampong Bharu yang terpisah-pisah dalam lot kecil melainkan jika ia digabung dengan melibatkan kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2019.

PEMILIK tanah Kampong Bharu perlu mengekalkan kawasan itu di tangan orang Melayu walau terpaksa menerima harga jualan yang lebih rendah, kata para pengkaji dan aktivis tanah rizab.

Antaranya Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang berpandangan pemilik tanah perlu faham kelebih dan status tanah kawasan khas orang Melayu.

Ketua Komuniti Tanah Simpanan Melayu MPM, Che Ibrahim Che Idris berkata ia berbeza dengan tanah berstatus terbuka yang bernilai tinggi seperti di Jalan Sultan Ismail dan Jalan Ampang.

Malah, tidak banyak pembangunan yang dapat dijalankan di kawasan tanah Kampong Bharu yang terpisah-pisah dalam lot kecil melainkan jika digabung dengan melibatkan kerajaan.

“Objektifnya untuk mendapat yang terbaik tetapi tidak bolehlah hendak kata mahu dibangunkan dan dinilai seperti KLCC,” katanya mengulas tuntutan pemilik untuk mendapat tawaran harga tinggi.

Kerajaan minggu lalu menawarkan harga RM850 sekaki persegi kepada pemilik dan pewaris dengan mengambil kira faktor mengekalkan syarat kepentingan pemilikan oleh orang Melayu.

Selain pulangan tunai, pemilik juga boleh menerima unit siap, kombinasi pulangan tunai dan unit siap, serta pulangan sebagai pemegang saham dalam syarikat tujuan khas (SPV).

Bagaimana, pemilik dan pewaris tanah Kampong Bharu menolak harga itu kerana terlalu rendah berbanding nilai pasaran tanah di kawasan sekitar antara RM1,500 hingga RM3,000 sekaki persegi.

Namun perbandingan itu tidak wajar kerana pembangunan di tanah rizab Melayu perlu mengekalkan hak kaum tersebut ke atas tanah tersebut, kata Ibrahim.

“Kalau kita lihat begitu sampai bila-bila pun tidak boleh hendak dibangunkan.

“Tanah rizab Melayu perlu dilihat secara tanah rizab Melayu, dibangunkan dengan cara tanah Melayu, tidak sama seperti tanah bebas,” katanya.

Namun pada masa sama kerajaan perlu memberi jaminan bahawa pemilikan akan kekal di tangan orang Melayu terutama apabila projek dibangunkan tidak dapat dijual.

“Adakah akan dibuka kepada pasaran terbuka? Ini yang kita mahu jaminan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Selain itu, pemaju dan pemilik tanah juga sukar mengagihkan keuntungan dalam projek mega seperti Kampong Bharu, yang berbeza dengan projek seperti perumahan dua atau tiga tingkat.

Ia akan menyebabkan pemilik dan pewaris putus asa dan lebih rela tanah tersebut tidak dimajukan daripada menerima pulangan kecil, katanya.

“Pemaju tidak boleh beri keuntungan 10% hingga 20% untuk bangunan 80 tingkat contohnya.

“Jadi tanah ini mesti dinilai dan diganti sama ada dengan wang tunai atau aset dalam bangunan itu. Bila hendak nilai, yang jadi masalah pemilik tanah yang kecil yang waris sampai 200 orang.

“Dengan harga yang ditawarkan, masing-masing cuma dapat RM10,000 misalnya, mereka rasa lebih baik biarkan sahaja tanah itu tanpa dibuat apa-apa,” ujarnya.

Pemilik dan pewaris tanah Kampong Bharu perlu melihat ke hadapan dengan melihat keuntungan lebih besar dan bukan hanya harga jualan hingga RM3,000 sekaki persegi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2019.

Selain itu, orang Melayu juga perlu melihat dari kesan geopolitik dan ekonomi kaum itu sekiranya gagal mencapai kata putus dalam membangunkan tanah rizab tersebut.

Beliau memberi contoh perkembangan yang berlaku di Kampung Sungai Penchala, salah satu lagi kawasan tanah rizab Melayu di Lembah Kelang.

Katanya populasi dan ekonomi kaum bukan Melayu yang duduk di sekitar kawasan itu meningkat berbanding orang Melayu kerana tiada perancangan tersusun untuk membangunkan tanah rizab itu.

Jelasnya, kerajaan tidak harus membiarkan penduduk kawasan itu hanya membina banglo di tanah rizab tersebut.

“Akan ada (jurang) kekayaan, geopolitik kerana orang bukan Melayu duduk dalam kondominum, satu ekar ada 250 keluarga berbanding satu ekar tanah Melayu yang hanya didiami empat keluarga sahaja.

“ Akan timbul masalah geopolitik dan ekonomi. Ada isu genting dan terpenting di tanah-tanah rizab Melayu ini. Kerajaan harus buka komuniti sekarang, bincang,” katanya.

Sementara itu, seorang pensyarah seni bina dan alam sekitar, Mohd Tajuddin Mohd Rasdi mencadangkan pembangunan tanah rizab Melayu boleh mengambil konsep seperti Raudhah City.

Raudhah City merupakan satu kawasan perumahan bernilai tinggi dengan konsep Melayu Islam di pinggir Cyberjaya yang turut dibuka untuk dibeli oleh bukan Islam.

Katanya, pembangunan dengan cara itu akan meningkatkan nilai komersial tanpa meminggirkan budaya Melayu itu sendiri.

“Pada saya pembangunan di tanah rizab ini pertamanya perlu melihat pulangannya untuk jangka masa panjang dan keduanya boleh dibangunkan seperti mana yang dilakukan oleh Raudhah City.

“Ada juga bukan Islam yang mahu duduk di kawasan seperti itu. Antara pembangunan yang ada nilai keagamaan yang universal,” katanya.

Oleh itu pemilik dan pewaris tanah Kampong Bharu perlu melihat ke hadapan dengan melihat keuntungan lebih besar dan bukan hanya harga jualan hingga RM3,000 sekaki persegi.

“Tidak apa dengan harga yang ditawarkan oleh kerajaan. Tetapi pembangunan itu perlu dibuatkan sesuatu untuk bantu masa depan Melayu.

“Contohnya jika ada lot kedai, diberi keutamaan kepada pemilik tanah untuk memiliki, berniaga dan sebagainya.

“Kalau ditekan, memang boleh untuk dijual pada harga RM3,000 sekaki tetapi dengan duit itu akan habis begitu sahaja akhirnya. Mereka kena runding untuk turut memiliki lot komersial,” katanya.

Tajuddin juga menasihatkan agar pembangunan Kampong Bharu yang mengekal kampung tradisi sebagai produk pelancongan juga perlu dilakukan dengan berhati-hati.

Katanya, unsur romantisme itu perlu mengambil kira nilai pembangunan dan kuasa pasaran.

“Kita boleh bangunkan untuk dijadikan produk pelancongan dengan mengekalkan kampung tradisi yang dicantikkan tetapi kita kena berhati-hati juga.

“Bagi saya kita kena ikut kuasa pasaran. Kalau perlu buat pembangunan yang hebat-hebat, buat sahajalah,” katanya. – 3 Oktober, 2019.

Menteri Wilayah Khalid Samad berkata kerajaan menawarkan harga RM850 sekaki persegi kepada pemilik dan pewaris Kampong Bharu dengan mengambil kira faktor mengekalkan syarat kepentingan pemilikan oleh orang Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen