Wawasan Kemakmuran Bersama perlu tumpu 3 keperluan asas


Sheridan Mahavera Lee Chi Leong

Wawasan Kemakmuran Bersama diperkenal Putrajaya perlu beri tumpuan kepada keperluan asas rakyat supaya ia tidak menjadi retorik semata-mata. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2019.

MENURUNKAN harga makanan, perumahan dan kos kesihatan adalah tiga perkara yang mesti menjadi agenda utama di dalam Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) yang diperkenalkan Pakatan Harapan, kata kumpulan pengguna.

Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berkata langkah-langkah konkrit bagi menangani kebimbangan ini sebagai agenda utama bakal menjadikan wawasan itu mempunyai kesan besar terhadap kehidupan rakyat kelas pertengahan dan kelas pekerja.

Setiausaha Agung Fomca Paul Selvaraj berkata demikian menjelang pelancaran WKB hujung minggu ini, yang bakal menggariskan pelan ekonomi pentadbiran PH untuk 10 tahun akan datang yang dikatakan akan mengurangkan jurang kekayaan di seluruh negara.

Selvaraj berkata harga tinggi bagi makanan dan perumahan, serta sistem penjagaan kesihatan awam yang tidak cekap, adalah apa yang dihadapi rakyat B40 setiap hari dan ketiga-tiga perkara itulah yang membuatkan mereka tertinggal dari kekayaan negara.

Kerajaan juga perlu memperuntukkan wang atau menumpukan perhatian dalam meningkatkan khidmat pengangkutan awam di kawasan pinggir bandar dan kawasan pedalaman kerana ini akan menurunkan kos sara hidup kerana mereka tidak perlu membeli kenderaan.

Jaringan keselamatan sosial yang komprehensif juga harus dimulakan untuk golongan miskin dalam negara, yang terdiri daripada 20% penduduk keseluruhan, supaya semua orang dapat memiliki kualiti hidup yang minimum.

“Ini adalah supaya mereka yang berpendapatan rendah benar-benar merasakan kemakmuran, anda mesti memulakan langkah-langkah ini, jika tidak, agenda itu hanya menjadi dasar retorik,” kata Selvaraj kepada The Malaysian Insight.

Perumahan adalah salah satu isu yang perlu diberi tumpuan Putrajaya bagi memastikan kemakmuran rakyat terpelihara.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2019.

“Isu terbesar dengan ekonomi pengguna adalah kenaikan kos sara hidup sementara gaji mereka tidak berubah.

“Ini adalah cabaran bagi keluarga muda terutamanya, mereka yang sedang mencari kerja,” kata Selvaraj mengenai jenis pengguna yang paling terdedah kepada impak ekonomi dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dijadual akan mendedahkan pelan terperinci dasar dan strategi agenda WKB pada 5 Oktober depan.

Sebelum ini, ia dilaporkan tumpuan utama WKB adalah untuk mengurangkan jurang pendapatan antara negeri dalam negara dan antara kelas kaya dan golongan pekerja.

Wawasan itu juga menjadi teras utama Rancangan Malaysia ke-12 dan ke-13 dan elemen-elemen di dalamnya juga akan berada dalam Belanjawan 2020. – 3 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen