Tak wajar baca doa Kristian di sekolah, kata aktivis agama


Zaim Ibrahim

Aktivis berpendapat SK (P) Methodist di George Town tidak sepatutnya menganjurkan bacaan doa Kristian semasa satu acara penyampaian hadiah minggu lalu. – Gambar The Malaysian Insight, 2 Oktober, 2019.

SK (P) Methodist di George Town tidak sepatutnya menganjurkan bacaan doa Kristian semasa satu acara penyampaian hadiah minggu lalu, kata beberapa aktivis agama.

Mereka berpendapat, penganjuran bacaan doa itu menyebabkan umat Islam rasa tersinggung lebih-lebih lagi, kerana majlis itu majoritinya dihadiri guru, pelajar, dan ibu bapa umat Islam.

Namun pada masa sama isu tersebut juga tidak perlu lagi terus dihangatkan, kata seorang penceramah agama bebas, Wan Ji Wan Hussin yang berpendapat isu itu sengaja diperbesarkan.

“Sekolah yang majoriti pelajar dan gurunya adalah Muslim, memang tidak wajar doa Kristian dibaca dalam sekolah tersebut.

“Saya juga beranggapan isu ini sengaja diperbesarkan. Sewajarnya sebarang sentimen yang boleh membawa spekulasi atas nama agama perlu dielak kerana beri implikasi tidak baik pada hubungan sesama warganegara Malaysia,” kata beliau kepada The Malaysian Insight.

Insiden doa itu jadi perhatian umum selepas seorang aktivis politik Muhsin Abdul Latheef, 35, membuat laporan polis terhadap pentadbiran sekolah pada Jumaat lalu.

Beliau mendakwa demikian dengan mengemukakan satu video menunjukkan seorang wanita seolah-olah membacakan doa sambil menyebut istilah “My Lord”.

Ucapan dalam video berkenaan didakwanya sebagai doa umat Kristian. Bagaimanapun tiada sebarang pihak tampil menafikan kesahihan video tersebut.

Isu doa itu  juga tidak perlu lagi terus dihangatkan, kata seorang penceramah agama bebas, Wan Ji Wan Hussin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober, 2019.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy pula hari ini berkata ucapan itu hanya ucapan perpaduan dan bukan doa agama Kristian.

Mengulas lanjut, Wan Ji berpendapat, ia tidak menyalahi ajaran Islam jika ucapan perpaduan itu hanya menyebut ‘My Lord’.

“Ia mungkin tidaklah sampai merujuk kepada doa Kristian. Dalam istilah Melayu pun, ada kalimah ‘tuhan’ yang boleh dimaksudkan kepada Allah.

“Dalam bahasa Melayu lama, di awal Islam masuk ke Tanah Melayu pun, Melayu Muslim dulu pun guna ‘Dewata Raya Mulia’,  yang merujuk kepada Allah.

“Walhal pada asalnya kalimah itu tidak pernah digunakan dalam teks Islam,” jelas beliau.

Seorang lagi aktivis Islam, Kamarudin Abdullah berpendapat acara tersebut sememangnya mempromosi Kristian kerana menggunakan petikan daripada kitab agama tersebut.

Presiden Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI) itu berkata demikian dengan merujuk video yang tersebar.

“Terdapat ungkapan dalam teks itu (dalam klip video) daripada petikan Kitab Bible, iaitu Psalms 111.1 hingga 10.

“Apabila ada petikan Bible dalam majlis rasmi sekolah yang majoriti dihadiri umat Islam ia melanggar peraturan Kementerian Pendidikan (KPM),” kata beliau.

Kamarudin yang aktif dalam dialog dan perbandingan antara agama itu berkata ucapan tersebut juga bertentangan dengan amalan membaca doa agama Islam seperti lazimnya dalam acara kerajaan.

“Program-program rasmi kerajaan selalunya ada bacaan doa selamat daripada Islam.

“Persoalannya kenapa tiba-tiba ada doa ala Kristian, sedangkan majoriti di situ adalah pelajar dan guru adalah Islam,” tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi NGO Ummah Pulau Pinang, Akhir Che Mat pula berpendapat isu doa itu adalah perkara yang besar dan perlu dibimbangi oleh masyarakat Islam.

“Ianya amat serius kerana sebelum ini tidak pernah berlaku dan suatu kebimbangan kepada masyarakat Muslim.

“Ini adalah soal ancaman akidah terhadap pelajar-pelajar Islam,” kata beliau yang menambah kejadian itu juga menunjukkan sekolah berkenaan tidak bertanggungjawab.

Sekolah tersebut diberi peringatan tegas oleh Kementerian Pendidikan yang turut mempertimbangkan tindakan lain atas penganjuran doa berkenaan.

Ketua pengarahnya, Amin Senin pada Ahad lalu berkata kejadian di sekolah itu melanggar garis panduan berhubung pengurusan acara serta sambutan untuk bahagian atau jabatan institusi bawah kementerian.

Kini, polis juga sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan memanggil beberapa saksi. – 2 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen