Samirah kelihatan tenang semasa kami sampai, kata saksi


Alfian Z.M. Tahir

Samirah Muzaffar, tertuduh pertama kes pembunuhan CEO Cradle Fund Nazrin Hassan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober, 2019.

TERTUDUH kes pembunuhan CEO Cradle Fund Nazrin Hassan, Samirah Muzaffar tidak menunjukkan sebarang reaksi sedih ketika pasukan bomba tiba di rumahnya, kata saksi pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, pagi tadi.

Saksi keenam, anggota bomba Mohamad Afzan Majid berkata sikap tertuduh itu luar biasa bagi seorang mangsa yang kematian ahli keluarga.

“Kami tiba pada pukul 12.46 tengah hari, 14 Jun tahun lepas. Saya nampak seorang wanita melambai kepada kami.

“Dia perkenalkan diri sebagai tuan rumah dan beritahu yang suaminya ada dalam bilik. Dia nampak tenang, tidak bersedih,” kata Afzan ketika membaca penyataan saksinya di mahkamah.

Afzan berkata beliau dan pasukannnya ke tingkat atas rumah yang terletak di Mutiara Damansara untuk memadamkan api di dalam bilik yang terbakar.

“Asap tebal semasa kami sampai di tingkat atas, dan ketika itulah tertuduh (Samirah) cuba masuk ke dalam bilik.

“Saya terpaksa halang kerana ia berbahaya. Kami cuba padamkan api dalam bilik,” kata saksi itu.

Anggota bomba Mohamad Afzan Majid, saksi keenam kes pembunuhan CEO Cradle Fund Nazrin Hassan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 2 Oktober, 2019.

Selepas api berjaya dipadamkan, Samirah meminta kebenaran dari Afzan untuk melihat mayat suaminya.

“Ketua saya benarkan. Saya teman tertuduh pertama masuk dalam bilik, Saya berdiri di belakang dia dan saya nampak dia periksa kepala suaminya.”

Tambah saksi itu lagi, beliau kemudian membawa Samirah turun ke tingkat bawah dan wanita itu terus ke bahagian dapur untuk membancuh susu anaknya.

Timbalan Pendakwa Raya Ashraf Ashy’ari bertanya kepada Afzan jika perlakuan Samirah yang tenang itu normal bagi orang yang baru kematian ahli keluarga.

“Ikut pengalaman saya, kebiasaannya mangsa akan berteriak, meraung dan meratap tetapi Samirah tidak. Semasa kami sampai, dia tidak bersedih,” kata Afzan yang sudah bertugas memadamkan kebakaran lebih 500 kali sepanjang 22 tahun berkhidmat.

Ashraf kemudian menyoal  saksi itu sama ada Samirah ada berkata apa-apa semasa cuba masuk ke dalam bilik.

“Dari gerak-gerinya, saya beranggapan dia cuba masuk ke dalam bilik, tetapi dia tak cakap apa-apa,” jawab saksi itu. – 2 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini.        


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen