Bukan doa Kristian tapi ucapan perpaduan, kata P Ramasamy


Zaim Ibrahim

Ucapan perpaduan itu diadakan semasa acara penyampaian anugerah untuk menangani masalah pergaulan pelajar berlainan kaum di sekolah, kata Timbalan Ketua Menteri II P Ramasamy. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober, 2019.

ACARA kontroversi di SK (P) Methodist di George Town pada minggu lalu adalah ucapan perpaduan dan bukan doa Kristian, kata Timbalan Ketua Menteri II P Ramasamy.

“Pada hari itu tidak ada doa agama. Yang ada hanyalah ucapan perpaduan yang telah dirancang oleh ahli lembaga dan pentadbir sekolah.

“Jadi tidak ada sebarang doa agama sama ada Kristian atau Islam, ia hanyalah ucapan perpaduan,” kata beliau dalam satu sidang media di George Town.

Jelasnya, ucapan perpaduan itu diadakan semasa acara penyampaian anugerah untuk menangani masalah pergaulan pelajar berlainan kaum di sekolah itu.

“Kekurangan pergaulan antara pelajar yang berlainan agama dan sekolah membimbangkan pihak sekolah,” jelasnya lagi.

Jelasnya, perkara itu dapat dilihat apabila terdapat pelajar yang tidak mahu lagi berbelanja di gerai yang dikendali bukan Islam di kantin sekolah.

“Terdapat tabiat kalangan pelajar Islam yang hanya membeli makanan daripada gerai-gerai orang Islam sahaja dan tidak membeli di gerai bukan Islam,” katanya.

Padahal, kantin berkenaan diusahakan oleh kontraktor Melayu-Islam, katanya kepada pemberita.

Tambahnya, pihak lembaga sekolah juga memutuskan untuk tidak membacakan sebarang doa agama ketika majlis anugerah cemerlang itu berlangsung Jumaat lepas.

Sekolah tersebut diberi peringatan tegas oleh Kementerian Pendidikan yang turut mempertimbangkan tindakan lain atas penganjuran doa berkenaan.

Ketua Pengarah Pelajaran Amin Senin pada Ahad lalu berkata kejadian di sekolah itu melanggar garis panduan berhubung pengurusan acara serta sambutan untuk bahagian atau jabatan institusi bawah kementerian.

Satu NGO, Pusat Komas bagaimanapun mendakwa tindakan itu satu bentuk buli dan menyalahi perlembagaan.

Tuduhan bahawa bacaan doa sebagai usaha mempromosi agama juga satu fikiran sempit dan  tiada bukti, kata NGO tersebut.

Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan memanggil beberapa saksi. – 2 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen