Sekolah jaga pendidikan, ibu bapa jaga iman


Jahabar Sadiq

Menghantar anak-anak ke sekolah kristian tidak akan menyebabkan mereka menukar agama yang dianuti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober, 2019.

MANA salahnya? Sejak bila kepercayaan agama jadi rapuh dan ibu bapa cepat melatah dengan sesuatu seperti doa agama lain?

Sebelum Malaysia makmur pada lewat 1970-an, banyak rakyat Malaysia ke sekolah mubaligh di pekan dan bandar manakala sekolah kebangsaan dan sekolah agama kebanyakannya terletak di kawasan luar bandar.

Ada juga sekolah berasrama elit seperti Maktab Melayu Kuala Kangsar dan Maktab Tentera Diraja tetapi itu untuk kelas bangsawan atau mereka yang dilihat ada potensi untuk tumbuh lebih baik.

Bergantung pada sekolah mubaligh, pengetua mereka lazimnya dipilih oleh mubaligh berkenaan sementara gurunya dari perkhidmatan kerajaan.

Sekolah ini menerima bantuan daripada kerajaan, sama ada sebahagian atau penuh bergantung pada jenis bantuan yang diberikan oleh kerajaan persekutuan.

Sekolah ini mempunyai tradisi yang mencerminkan sejarah dan pengasasnya. Di St John’s Institution Kuala Lumpur, ada ulang tahun penubuhan sekolah dan hari kebesaran untuk pengetua dan pengasas, yang semuanya bertolak daripada ajaran Katolik.

Kami mengambil bahagian dalam semua acara dan doa dibaca memohon kesejahteraan dan panjang usia untuk pengetua, sekolah dan pengasasnya. Pernah sekali, ada pelajar lelaki menari ballet dengan memakai tutu.

Tiada sesiapa yang menukar agamanya selepas itu. Tidak ada. Tiada sesiapa yang menukar agamanya di sekolah yang ada gereja untuk mereka yang beragama Katolik dan surau untuk Muslim.

Keadaannya sama di semua sekolah yang dikendalikan oleh mubaligh dari mazhab Kristian yang lain.

Sekolah ini menjadi wadah perpaduan rakyat Malaysia di dua belahan wilayah yang dipisahkan oleh Laut China Selatan.

Ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah ini kerana pendidikannya, bukan kerana aliran agama.

Itulah tujuan adanya sekolah, dan ibu bapa harus tahu. Sekolah di Malaysia diasaskan oleh mubaligh dan pendidik yang mahu memberikan pelajaran asas dan tingkat atas kepada semua, tanpa mengira fahaman atau warna.

Sesetengahnya mungkin diasaskan untuk penyebaran agama pada masa itu tetapi tidak lagi, sejak Perlembagaan Persekutuan digubal serta undang-undang pelajaran yang mencegahnya.

Doa tetaplah doa. Ia bukan pelawaan untuk masuk agama lain. Pelajar ke sekolah untuk belajar, bukan untuk tukar agama.

Apatah lagi, semua sekolah awam sekarang ini menggunakan sukatan pelajaran kebangsaan yang diajar oleh guru-guru yang dibayar gajinya oleh kerajaan.

Maknanya, sekolah kita mesti jadi sekular. Maknanya, terserahlah pada ibu bapa untuk menyiapkan pendidikan agama anak-anak.

Sekiranya itu dibuat, tiada kebimbangan akan ada tukar agama kerana doa yang lain daripada agama mereka.

Barangkali, ibu bapa perlu diajar untuk jadi ibu bapa dan tidak bergantung pada sekolah untuk menjaga iman anak mereka. Guru di sekolah untuk mengajar, bukan untuk menjaga anak mereka.

Banyaknya aliran sekolah awam dan swasta yang sedia ada sudah mengasingkan pelajar ke dalam petak-petak kaum, agama dan kelas.

Malaysia tidak perlu ibu bapa yang tidak tahu menjadi ibu bapa dan memburukkan lagi keadaan dengan merungut tentang doa.

Kalau hendak bersungut, bersungutlah tentang mutu pendidikan dan sukan, bukannya kepercayaan agama, supaya kementerian dan pegawai pendidikan berbuat sesuatu untuk meningkatkan tahapnya, daripada hanya mengeluarkan amaran.  – 2 Oktober, 2019.

* Jahabar Sadiq adalah pengasas The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen