Belum dapat dakwa 4 individu kes bunuh Adib, kata polis


SM Amin

Adib meninggal dunia di IJN pada 17 Disember tahun lalu selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di kuil Sri Maha Mariammam USJ 25 Subang Jaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober, 2019.

Siasatan ke atas empat suspek dalam kes pembunuhan anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim masih belum dapat dikemukakan untuk pendakwaan, kata polis.

Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor berkata pasukan itu masih perlu mendapatkan saksi lain untuk siasatan tersebut.

“Dalam siasatan polis ini kita akan mengambil tindakan ke atas sesiapa sahaja bagi membantu siasatan.

“Siasatan tidak bermaksud pendakwaan. Siasatan masih diteruskan. Mungkin ada lain-lain saksi kita perlukan. Biarlah kita siasat dahulu,” katanya dalam sidang media hari ini.

Mazlan berkata Bukit Aman dan peguam negara akan bersama-sama mengkaji nota prosiding inkues kematian Adib itu yang menyebut kematian anggota bomba itu akibat jenayah.

“Apa sahaja daripada nota prosiding inkues itu, kita akan kaji dengan pihak peguam negara secara bersama.

“Mungkin ada dimensi baru siasatan yang perlu kita lihat dan kita akan teruskan daripada situ,” ujarnya.

Mazlan turut menegaskan pihak polis akan mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja bagi membantu siasatan dan tidak hanya kepada empat orang suspek sebelum ini.

Beliau menjawab kenyataan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Noh Omar yang mempersoalkan tindakan ke atas empat suspek yang sudahpun ditahan, dipercayai ada kaitan dengan kes tersebut.

Noh menuntut polis menjelaskan jika suspek berkenaan masih berada dalam negara dan sekiranya individu tersebut akan dipanggil semula unutk siasatan.

Jumaat lalu, Mahkamah Koroner memutuskan Muhammad Adib meninggal dunia akibat perbuatan jenayah melibatkan lebih seorang individu yang tidak dikenali.

Koroner Rofiah Mohamad juga merumuskan pihak polis telah gagal bertindak segera mengawal rusuhan semasa kejadian, dan turut menyumbang kepada kematian Adib.

Empat lelaki berusia antara 21 hingga 24 tahun yang ditahan ekoran kes pembunuhan itu dibebaskan pada Disember lalu.

Dua daripadanya dibebaskan dengan bon mahkamah RM2,000 manakala dua lagi dengan jaminan polis.

Polis menjalankan siasatan ke atas kes tersebut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.– 2 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen