BN lebih popular dalam kalangan pengguna berbahasa Melayu di Facebook


Gan Pei Ling

Kajian dilakukan Politweet itu menunjukkan pengguna berbahasa Melayu lebih cenderung kepada BN manakala pengguna berbahasa Cina pula kepada pembangkang. – Gambar AFP, 16 Oktober, 2017.

SATU kajian terbaru mengenai pengguna Facebook menunjukkan dalam soal parti politik, rakyat Malaysia masih terpisah mengikut garis perkauman.

Menurut kajian Politweet yang diterbitkan minggu lepas, pengguna Facebook berbahasa Cina cenderung ke arah pembangkang dibandingkan dengan pengguna berbahasa Melayu yang lebih cenderung ke arah kerajaan pemerintah.

Majoriti (60.16%) daripada 6.4 juta pengguna Facebook berusia di atas 21 tahun adalah individu yang menggunakan dua bahasa, Melayu dan Inggeris.

Ini diikuti oleh pengguna berbahasa Melayu sahaja (14.84%), pengguna Cina-Inggeris (11.72%), dan pengguna Melayu-Cina serta pengguna berbahasa Inggeris sahaja yang berjumlah 3.91% setiap satu.

Manakala selebihnya adalah mereka yang menggunakan tiga bahasa (2.34%) dan pengguna berbahasa Cina sahaja (kurang daripada 2%).

Kajian juga mendapati tiga kumpulan iaitu pengguna berbahasa Melayu-Inggeris, Cina-Inggeris dan Melayu sahaja adalah kumpulan utama pengguna Facebook yang membentuk 86.72%.

Sekurang-kurangnya satu pertiga pengguna ketiga-tiga kumpulan ini mempunyai minat kepada kedua-dua pihak politik di negara ini.

Barisan Nasional (BN) bagaimanapun mempunyai capaian lebih tinggi dalam kalangan Melayu-Inggeris, Melayu sahaja dan Inggeris sahaja di Facebook berbanding pembangkang. Dalam kajian ini, PAS dimasukkan ke dalam kategori pembangkang.

Pembangkang pula mendahului BN dalam kalangan pengguna Cina-Inggeris, Melayu-Cina dan pengguna tiga bahasa dalam media sosial itu, menurut kajian itu lagi.

“Ada pemisah jelas minat politik berdasarkan bahasa antara pengguna Melayu (terutamanya kumpulan Melayu-Inggeris dan Melayu sahaja) dan pengguna berbahasa Cina ( terutamanya kumpulan Cina-Inggeris),” kata laporan itu lagi.

Didapati juga yang BN lebih berpengaruh dalam kalangan pengguna berbahasa Melayu (dengan purata 2.49% setiap negeri) yang bermaksud wujud kelompok pengguna berbahasa Melayu yang hanya sedar dan bercakap tentang isu berkaitan BN.

Begitu juga, pembangkang lebih berpengaruh dalam kalangan pengguna berbahasa Cina (dengan purata 12.88% setiap negeri).

Menurut Politweet, negeri yang mempunyai peratusan tertinggi orang Melayu dan Bumiputera adalah Terengganu (97%0, Kelantan (96%), Perlis (86%) dan Sabah (81%) adalah juga negeri yang paling ramai jumlah pengguna berbahasa Melayu di Facebook.

“Negeri yang mempunyai peratusan tinggi rakyat kaum Cina adalah Pulau Pinang (44%), Johor (34%) KL dan Selangor (32%), Perak (30%) dan Melaka (26%). Selain KL dan Selangor, negeri-negeri ini mempunyai peratusan tinggi pengguna berbahasa Cina dan Inggeris.

“Walaupun wujud persamaan, perlu ditekankan yang bukan semua pengguna berbahasa Melayu di Facebook beretnik Melayu, Bumiputera Sarawak atau Bumiputera Sabah; dan bukan semua pengguna berbahasa Cina beretnik Cina.

“Bagaimanapun boleh dikatakan hampir semua orang Melayu di Semenanjung Malaysia boleh ditemui dalam kumpulan Melayu-Inggeris atau Melayu sahaja,” kata Politweet.

Politweet melakukan kajian berdasarkan anggaran jumlah diberikan Facebook untuk bulan Julai 2017. Statistik tentang pembangkang kebanyakan merujuk kepada parti komponen gabungan pembangkang sebelum ini Pakatan Rakyat- PKR, PAS dan DAP. Ini termasuklah jenama “Pakatan” itu sendiri.

Kajian itu mengatakan 62.5% pengguna Facebook tinggal di Kuala Lumpur dan Selangor. – 16 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen