KERJA menghantar makanan memberikan pendapatan yang lumayan, kata penunggang perkhidmatan Foodpanda, sehingga ada antara mereka yang berhenti kerja untuk membuatnya sepenuh masa, tidak kira berpanas dan berhujan atau sesak mengharung jerebu.
Jadi penghantar makanan juga bermakna mereka terpaksa mengorbankan waktu yang berkualiti untuk hal-hal lain kalau mahu dapat upah yang berbaloi untuk menghadapi cabaran sara hidup yang tinggi.
Menghantar makanan, salah satu kerja sambilan yang popular dalam ekonomi gig – istilah yang merujuk kepada kerja sementara atau sambilan dan tidak tetap, boleh menjana pendapatan antara RM4,000 dan RM7,000, dengan tempoh kerja 12 jam sehari.
Lulusan ijazah bioteknologi, Nur Istikarah Ahmad, 25, mendedahkan beliau sanggup meninggalkan pekerjaan lama sebagai pegawai pemasaran kerana pendapatan daripada kerja menghantar makanan kini dua kali ganda.
“Saya buat Foodpanda sudah enam bulan. Pendapatan saya bergantung pada pada rajin sendiri. Kalau sebulan boleh cecah dalam RM5,000 atau RM6,000.
“Dulu saya pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta, dapatlah gaji RM3,500. Tapi selepas buat Foodpanda ini, saya rasa pendapatan saya lebih banyak,” katanya.
Dengan gaji yang berbaloi, beliau sanggup meredah hujan dan panas asalkan dirinya tidak lagi hidup dalam kesempitan. Yang lebih penting baginya, beliau kini mampu menyimpan.
“Saya keluar bekerja selalunya jam 10 pagi sudah keluar rumah. Kadang-kadang habis sampai jam 2 pagi. Jadi waktu bekerja saya lebih 12 jam.
“Cabaran kerja ini tidaklah teruk sangat, tapi selalu berhadapan cuaca tak menentu. Hujan, panas terik perkara biasa,” katanya.

Foodpanda, yang mempunyai lebih kurang 12,000 penunggang di seluruh Malaysia, jadi perhatian minggu ini selepas penghantar makanannya melancarkan mogok membantah sistem upah yang baharu, yang berkuat kuasa pada Isnin.
Di bawah skim baharu itu, Foodpanda menghapuskan bayaran mengikut jam dengan meningkatkan bayaran setiap pesanan.
Kalau dulu mereka dibayar RM4 sejam tidak termasuk insentif penghantaran, mulai 30 September, penunggang di luar Lembah Klang dibayar mengikut jumlah pesanan antara RM5 hingga RM7, dengan bonus RM100 sekiranya menyelesaikan 60 jam kerja seminggu.
Mereka juga dapat tambahan RM1 bagi setiap pesanan yang dihantar antara 11 malam dan 9 pagi.
Namun mereka membantah sistem baharu ini. Mereka mendakwa upah mengikut jam lebih menguntungkan.
Sabri Abdul Talib, 41, yang dua dekad memandu lori sebelum ini, sangat bersyukur dengan adanya perkhidmatan seperti Foodpanda.
Beliau sanggup kerja sampai larut malam kerana desakan kos sara hidup dan komitmen kewangan yang tinggi.
“Jadi penghantar makanan macam saya ini, semua kena redah walau panas atau hujan lebat. Mana boleh berhenti, sebab pelanggan mesti tunggu makanan mereka.
“Saya kena tanggung banyak sebab isteri tidak bekerja, anak dua orang. Tiap-tiap bulan tolak bil, hutang rumah dan hutang lain dalam dua ribu ringgit. Jadi baki itu saya guna untuk keperluan lain.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam satu laporan The Malaysian Insight baru-baru ini mendedahkan sektor ekonomi gig ini berkembang pesat pada kadar 31% berbanding sektor pekerjaan tradisional.
Kerajaan juga melihat perekonomian digital seperti perkhidmatan perkongsian kereta seperti Grab dan teksi motosikal seperti Go-Jek di Indonesia menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.
Bagaimanapun sesetengah pihak melihat peluang pekerjaan itu tidak memadai untuk menampung pekerja mahir yang keluar universiti saban tahun.

Laporan Bank Negara Malaysia pada 2018 juga mendedahkan ekonomi Malaysia sejak 2010 tidak mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang cukup untuk graduan yang masuk ke pasaran.
Keadaan ini memaksa golongan belia dan lulusan tinggi beralih jadi penghantar makanan dan pemandu perkhidmatan tumpang kereta.
Bagi Izakrie Mohd Sapri, 25, beliau memilih kerja jadi penghantar makanan kerana matlamatnya satu – ada cukup duit untuk simpanan masa depan.
“Walaupun belum berumahtangga tapi saya banyak tanggung keluarga sendiri. Jadi pendapatan yang saya dapat, saya akan berikan kepada ibu bapa.
“Selebihnya saya kena simpan sebab dalam perancangan nak mendirikan rumahtangga. Jadi saya kena kerja lebih keraslah,” katanya lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu kepada The Malaysian Insight.
Sebelum ini beliau bekerja di pasar raya tetapi sanggup berhenti kerana waktu kerjanya lebih fleksibel. Selebihnya, modal dan kos juga rendah.
“Kos penyelengaraan betulkan motor kalau rosak sebulan dalam RM100 ke RM200. itu termasuk minyak motor sebulan.
“Pada saya kerja penghantar makanan di syarikat ini senang sahaja, tak susah mana pun. Ambil makanan di kedai lepas itu bawa ke tempat pelanggan yang order.
“Relaks dan enjoy sangat pekerjaan ini. Saya pun sudah lama kerja,” katanya, yang sudah empat tahun bekerja menghantar makanan. – 2 Oktober, 2019.
Komen