PAS akan menghadiri Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober yang disifatkan penganjurnya sebagai respons kepada mereka yang “memperkecil dan mempersoalkan” hak Islam dan Melayu, kata setiausaha agung parti Takiyuddin Hassan.
Katanya keputusan hadir pada kongres tersebut bagi membuktikan parti Islam itu berjiwa besar dalam usaha untuk mengukuhkan perpaduan di negara ini.
“PAS menerima jemputan daripada pihak penganjur untuk menghadiri Kongres Maruah Melayu.
“Mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pusat mengambil ketetapan bersetuju agar Presiden PAS Abdul Hadi Awang menghadiri kongres tersebut sebagai tanda jiwa besar PAS bagi mengukuhkan perpaduan ummah dan nasional dalam negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Keputusan itu berlaku dibuat dua minggu selepas PAS menandatangani piagam dengan musuh lamanya, Umno untuk bekerjasama demi kepentingan komuniti Melayu-Islam.
Sementara itu, Setiausaha Kerja Umno Mohd Sumali Reduan ketika dihubungi The Malaysian Insight memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang jemputan untuk menghadiri kongres tersebut.
“Belum ada lagi. Umno tidak boleh membuat kepastian kerana belum menerima jemputan rasmi lagi sehingga petang ini dari pihak penganjur,” katanya.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dijadual bercakap pada majlis itu, yang dianjurkan oleh Pusat Akademi Pusat Kecemerlangan Melayu Universiti Malaya dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Lima bidang utama bakal diberi fokus dalam kongres tersebut politik, ekonomi, pendidikan serta kebudayaan dan agama.
Ia akan diadakan di Stadium Malawati di Shah Alam dan bukan Stadium Axiata Arena di Bukit Jalil seperti diumumkan sebelum ini. – 1 Oktober, 2019.
Komen