Selangor harap peruntukan khas naik taraf jalan raya Pulau Indah 


Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berharap peruntukan itu disertakan dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentanglan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng 11 Oktober ini.– Gambar The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2019.

KERAJAAN Selangor berharap kerajaan Persekutuan akan menyediakan peruntukan khas bagi menaik taraf  jalan raya di kawasan Pelabuhan Klang, dalam Belanjawan 2020.

Menteri Besarnya, Amirudin Shari berkata ini kerana jalan raya di kawasan yang di bawah seliaan kerajaan Persekutuan itu merupakan jalan tumpuan.

“Pulau Indah adalah kawasan pelabuhan yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan kita lihat infrastuktur asas terutamanya jalan raya perlu diberi tumpuan untuk dinaik taraf serta diperbaiki.

“Ini adalah harapan kita supaya ada peruntukan dikhaskan untuk tujuan ini pada Belanjawan 2020 nanti,” katanya kepada pemberita di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas harapan kerajaan negeri untuk Belanjawan 2020 yang dijadual dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 11 Oktober ini.

Amirudin berkata menerusi belanjawan itu, pihaknya berharap kerajaan Persekutuan juga dapat memberi keutamaan kepada usaha untuk menyediakan kemudahan internet atau jalur lebar yang lebih baik untuk dinikmati penduduk di Selangor.

Katanya langkah itu penting bagi memberi lebih banyak manfaat kepada penduduk negeri ini termasuk dalam bidang berkaitan perbankan, pendidikan dan perniagaan.

“Selain itu, kita turut mengharapkan belanjawan itu tidak menyisihkan bidang pendidikan, kita mahu institusi pendidikan di Selangor ini diperkukuhkan seiring dalam melahirkan sumber tenaga kerja mahir,” katanya. – Bernama, 1 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen