Jangan ada mentaliti makan gaji, cabar diri jadi usahawan, kata Najib


Yasmin Ramlan

Barangkali kita ini bukanlah orang yang nak makan gaji, barangkali kita boleh menjadi orang yang boleh menggajikan orang lain, kata Perdana Menteri Najib Razak kepada mahasiswa di UKM malam ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 15 Oktober, 2017.

PERDANA Menteri Najib Razak menasihati mahasiswa supaya mencabar diri dalam bidang keusahawanan dan jangan ada mentaliti makan gaji selepas menamatkan pengajian.

“Saya tidak mahu mentaliti kita bila keluar daripada universiti, dalam kepala kita nak makan gaji, kita mesti mencabar diri kita untuk memilih sama ada bidang keusahawanan boleh menjanjikan satu masa depan yan glebih bermakna untuk diri kita,” katanya ketika di karnival dan malam “Gala Varsity Entrepreneurship Skills and Talents” (VEST) 2017 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi hari ini.

Najib berkata, melalui bidang keusahawanan, mereka tidak perlu makan gaji malah membentuk peluang pekerjaan kepada orang lain

“Jadi, bila kita mendedahkan mahasiswa dengan dengan program VEST ini, saya percaya di dalam kepala kita nanti, dalam minda kita, kita boleh buat pertimbangan.

“Barangkali kita ini bukanlah orang yang nak makan gaji, barangkali kita boleh menjadi orang yang boleh menggajikan orang lain,” katanya.

Pada Ogos lalu, Menteri Pendidikan Tinggi Idris Jusoh berkata, tahun lepas seramai 54,103 siswazah universiti menganggur dalam tempoh enam bulan selepas mereka menamatkan pengajian.

Menurutnya, jumlah itu bukan sahaja daripada Universiti Awam (UA) tetapi digabungkan bersama daripada institusi pengajian tinggi dan kolej swasta yang lain, katanya ketika menjawab soalan Ng Chiang Chin yang ingin tahu jumlah kadar pengangguran dalam kalangan siswazah universiti di negara ini.

“Bila jadi usahawan, kita boleh menjana kekayaan untuk diri kita, untuk negara. Dan sebab itulah saya ingin melalui VEST ini dan program-program yang lain, kita akan membangunkan satu generasi baru - di kalangan generasi TN50.

“Generasi inilah kita nak latih, nak didik nak beri entrepreneur skill supaya kita dapat melahirkan sekelompok yang benar-benar berwibawa yang boleh menjana kekayaan baru untuk negara kita,” kata Najib.

VEST merupakan satu inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bersama Perbadanan Nasional Berhad (PNS) di bawah Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang menerapkan budaya keusahawanan di kalangan pelajar universiti dan menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan. – 15 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen