Najib main peranan penting dalam perjanjian 1MDB-Aabar, kata saksi


Bede Hong Timothy Achariam

Najib Razak memainkan peranan penting dalam perjanjian usaha sama bernilai RM18 bilion antara 1MDB dan Aabar Investment PJS, kata saksi, Shahrol Azral Ibrahim Halmi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 1 Oktober, 2019.

BEKAS perdana menteri Najib Razak memainkan peranan penting dalam perjanjian usaha sama bernilai RM18 bilion (AS$6 bilion) antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Aabar Investment PJS, kata saksi kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Aabar Investment PJS adalah anak syarikat International Petroleum Investment Co (IPIC).

Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu mahkamah, perjanjian yang dimeterai pada 12 Mac 2013 itu adalah ‘baby’ Najib dan mustahil dibuat tanpa kelulusannya.

Usaha sama 50:50 itu melibatkan pelaburan global termasuk projek Kuala Lumpur International Financial District (KLIFD) yang kemudian ditukar nama kepada Tun Razak Exchange (TRX). Bagaimanapun, perjanjian itu kemudiannya gagal.

Perjanjian usaha sama ditandatangani oleh Pengerusi 1MDB Che Lodin Wok Kamarudin dan Pengerusi Aabar Khadem Al Qubaisi.

Majlis tandatangan diadakan di Pejabat Perdana Menteri yang disaksikan oleh Najib dan Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.

“Tindakan Datuk Seri Najib mengenai perjanjian ini selari dengan tindakan Jho Low.

“Ini kerana semua rancangan Najib dan pelaksanaannya, sehinggalah majlis tandatangan, terlebih dulu diatur oleh olehnya (Low).

“Saya katakan begini kerana ‘pelan tindakan’ dan perbincangan antara Jho Low dengan saya dan Jasmine Loo (peguam 1MDB ketika itu) adalah untuk memastikan majlis itu berjalan dengan lancar,” kata Shahrol.  – 1 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen