Tangani orang tengah untuk kawal harga ikan, gesa nelayan


Zaim Ibrahim

Nelayan terpaksa menerima harga yang ditawarkan oleh peraih walaupun ia tidak munasabah dan terlalu rendah.– Gambar fail The Mlaaysian Insight, 1 Oktober, 2019.

NELAYAN berharap kerajaan akan menangani isu orang tengah dalam rantaian penjualan ikan, yang antara lain menyebabkan harga ikan di pasaran tidak menentu dan tidak munasabah.

Mereka berharap kerajaan akan mengumumkan dasar yang boleh membantu nelayan bernafas, baik melalui Dasar Kemakmuran Bersama yang akan diumumkan pada hujung minggu ini atau Belanjawan 2020 seminggu berikutnya.

Nelayan yang ditemui The Malaysian Insight di Pulau Pinang berkata nasib mereka sekarang sangat bergantung pada peraih yang seolah-olah memaksa mereka menerima harga yang ditawarkan, tidak kira serendah mana sekali pun tawaran itu.

“Kita terpaksa jual kepada peraih walaupun harga yang murah kerana kalau kita tolak, lagi rugi teruk,” kata Setiausaha Unit Nelayan Teluk Air Tawar, di Butterworth, Mazlan Othman.

Beliau berharap kerajaan dapat mewujudkan sebuah agensi khusus untuk menangani harga ikan daripada meningkat terlalu tinggi di pasaran.

“Agensi ini sepatutnya boleh berperanan sebagai orang tengah. Itu lebih baik daripada kita guna peraih-peraih yang ada kuasa tetapkan harga,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Mazlan mendedahkan nelayan Pulau Pinang sekarang terpaksa meneroka jauh sampai ke Pulau Langkawi dan perairan Perak untuk mendapatkan ikan, menyebabkan kos operasi mereka meningkat.

Kos yang meningkat menyebabkan ikan tidak boleh dijual murah kepada peraih kerana nelayan juga perlu dapat untung, kata ahli jawatankuasa pemasaran Unit Nelayan Batu Uban, Hanafi Ibrahim.

“Kami juga memilih peraih yang boleh tawarkan harga paling tinggi.

“Kami tahu, kalau harga mahal akan susahkan pengguna tapi apabila kita jual kepada peraih (harga) rendah, kita pula tak bawa balik modal,” katanya.

Tinjauan The Malaysian Insight di pasar di sekitar Pulau Pinang menunjukkan perbezaan ketara harga hasil laut antara yang dijual di jeti nelayan dan di pasar.

Pada hujung minggu lalu, udang saiz AA dijual pada harga RM55 sekilogram di Jeti Nelayan Penaga, Kuala Batas tetapi mencecah RM64 di Pasar Awam Taman Tun Sardon, Gelugor.

Ikan kembung dijual dengan harga yang tidak jauh berbeza iaitu antara RM10 hingga RM14 di jeti nelayan berbanding RM10 dan RM16 di pasar, bergantung saiz ikan.

Ikan duri dijual antara RM4 dan RM8 sekilogram di jeti manakala di pasar pula antara RM8 dan RM16.

Perbezaan ketara harga bagi hasil laut yang dijual di jeti nelayan dan pasar awam.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2019.

Menurut penduduk tempatan, Ikhwan Jaafar, 35, ramai orang lebih suka membeli di pasar nelayan kerana harganya murah berbanding di pasar.

“Saya beli ikan kembung sekilo RM14, kalau di pasar awam mungkin mahal seringgit atau dua ringgit. Di pasar awam tidaklah mahal sangat, tetapi saya mahu ikan yang segar seperti di sini,” kata beliau.

Bagi seorang pesara, Ong Guat Lay,60, perbezaan harga bukan faktor beliau membeli di pasar ini.

“Harga saya tidak kisah, tidak beza sangat sangat dengan pasar. Tapi ikan di sini tidak letak ubat, segar daripada laut dan terus jual,” jelas beliau.

Bagaimanapun seorang penjual ikan di Pasar Awam Taman Tun Sardon memberitahu harga ikan di pasaran tidak hanya bergantung semata-mata pada peraih tetapi juga faktor hasil tangkapan itu sendiri dan cuaca.

Harga ikan yang dijual mahal di pasar juga adakalanya kerana sikap segelintir peniaga yang tidak jujur, kata Abdul Mutalib Abdul Wahab.

“Peraih beli dengan harga murah, penjual ambil kesempatan dengan jual harga yang tinggi. Contohnya, harga ketam gred AA sepatutnya sekilo RM40 tetapi mereka jual RM45 atau RM48 dengan pelbagai alasan.

“Ada penjual yang jual ikan dengan harga saiz biasa sedangkan ikan itu adalah saiz kecil, tapi pengguna tidak tahu dan terus beli,” katanya.

Pada Ogos lalu, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mendedahkan pengguna membayar harga tinggi untuk ikan kembung kerana sistem rantaian bekalan melalui orang tengah menyebabkan harga melambung sehingga 300% daripada harga asal.

Dalam Kajian Pasaran Sektor Makanan itu, MyCC mendapat kos nelayan untuk menangkap ikan kembung ialah RM6.50 sekilogram. Mereka menjualnya di jeti dengan harga antara RM7.50 dan RM8.50 sekilogram, yang kemudian dijual pula kepada pemborong pada harga antara RM12 hingga RM14 sekilogram.

Ikan kembung itu kemudian sampai kepada pengguna pada harga antara RM15 hingga RM17 sekilogram, kata MyCC.

Kajian MyCC itu kemudian dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 14 Ogos lalu. Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution, kabinet memandang serius isu itu dan memberi jaminan ia akan ditangani.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan membentangkan Wawasan Kemakmuran Bersama pada 5 Oktober ini, yang akan menentukan hala tuju ekonomi Malaysia sehingga 2030.

Enam hari kemudian, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dijadual membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat. – 1 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen