Umno Tanjung Piai tolak MCA, mahu ketua bahagian bertanding PRK


SM Amin

AHLI Umno Tanjung Piai mahu MCA menyerahkan kerusi Parlimen kawasan itu untuk ditandingi oleh ketua bahagian mereka Jefridin Atan pada pilihan raya kecil tidak lama lagi, kata sumber parti.

Mereka merasakan Jefridin dan Umno lebih berpeluang, berbanding MCA, untuk merampas kerusi yang terlepas kepada Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum 2018.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, semua 88 pemimpin cawangan sebulat suara setuju supaya Umno menuntut kerusi yang ditandingi oleh MCA dalam pilihan raya umum lalu.

“Kalau semua ketua cawangan sudah desak supaya Umno yang bertanding, siapa lagi calon yang layak kalau bukan ketua bahagian. Pemimpin atasan kena pandang serius perkara ini sebab inilah jentera yang akan menggerakkan kempen nanti.

“Kalau calon lain diletakkan, atau MCA yang bertanding, kemungkinan untuk berlakunya sabotaj seperti sebelum ini sangat tinggi.

“Lagipun nama Jefridin tidak lagi asing. Dalam PRU14 pun sudah disebut-sebut sebagai calon,” kata sumber di Tanjung Piai kepada The Malaysian Insight.

Pada Sabtu lalu, 88 ketua cawangan Umno Bahagian Tanjung Piai dalam satu mesyuarat khas meluluskan resolusi mendesak MCA menyerahkan kerusi Parlimen Tanjung Piai kepada Umno.

Mesyuarat khas itu dihadiri kepimpinan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Tanjung Piai.

Jefridin ketika dihubungi The Malaysian Insight berkata, desakan Umno itu wajar kerana MCA gagal mengekalkan sokongan pengundi terhadap BN malah semakin merosot dari satu pilihan raya ke satu pilihan raya.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai diwakili oleh BN melalui MCA sejak kawasan pilihan raya itu dibentuk melalui persempadanan semula pada 2003.

Kerusi itu adalah pecahan daripada kawasan Parlimen Pontian, yang ditandingi wakil MCA untuk BN sejak pilihan raya 1986.

Pada Pilihan Raya Umum 2004, Tanjung Piai dimenangi presiden MCA pada ketika itu, Ong Ka Ting, yang sebelum itu mewakili Pontian.

Wee Jeck Seng pula bertanding dan menang di Tanjung Piai untuk dua penggal dalam pilihan raya umum 2008 dan 2013, tetapi kalah pada 2018 kepada calon Bersatu yang mewakili Pakatan Harapan, Dr Md Farid Md Rafik.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai kosong selepas Farid meninggal dunia pada 21 September lalu.

“Masa PRU14, Wee kalah di sembilan saluran majoriti pengundi Cina dan di beberapa saluran campuran dia hanya menang tipis.

“Dari segi peratusan, undi MCA semakin merosot sejak PRU12 dan akhirnya tewas dalam PRU14,” kata Jefridin.

Pada PRU14, Farid menang dengan 524 undi. Beliau mendapat 21,555 undi mengatasi Wee yang mendapat 20,731 undi serta calon PAS Nordin Othman yang meraih 2,962 undi.

Berdasarkan data PRU14, Parlimen Tanjung Piai mempunyai 53,528 pengundi berdaftar dengan 57% Melayu, 42% Cina, 1% India dan lain-lain 0.55%.

Selain Jefridin, ada empat nama lain yang juga disebut-sebut sedang dipertimbang untuk jadi calon BN antaranya bekas Menteri Besar Johor, Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan.

Dalam pada itu, Wee juga dilaporkan masih berminat untuk bertanding semula. MCA juga dikatakan menimbang untuk mencalonkan Ketua Pemudanya Nicole Wong.

Sementara itu, The Malaysian Insight difahamkan Bersatu sudah menyenaraikan sekurang-kurangnya tiga calon untuk disenarai pendek sebagai bakal calon antaranya Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini dan bekas Adun Kukup, Suhaimi Salleh.

Parti itu turut menyenaraikan ibu Farid sendiri, Norma Mohamed yang juga Ketua Wanita Bersatu Bahagian Tanjung Piai.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermesyuarat hari ini untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian di Tanjung Piai. – 1 Oktober, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen