HARI ini hari terakhir September 2019 tetapi rasanya seperti September 1998 – bulan Anwar Ibrahim dipecat dari kabinet Dr Mahathir Mohamad.
Mereka yang terlibat dalam politik masih juga orang yang sama, dulu dan sekarang, dengan cerita yang juga sama.
Syed Husin Ali, ketika itu memimpin PRM, dan Mohamad Ezam Mohd Noor, ketika itu setiausaha politik Anwar, sejak beberapa hari lalu menyuarakan pandangan mereka terhadap Dr Mahathir, yang sekali lagi jadi perdana menteri selepas Pakatan Harapan (PH) mengalahkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum 2018.
Syed Husin, pemimpin PKR, mengkritik Dr Mahathir kerana tidak menyediakan pelan peralihan yang jelas untuk Anwar. Beliau melemparkan kritikannya tidak lama selepas Dr Mahathir berkata beliau paling lama pun akan jadi perdana menteri untuk tiga tahun, selepas PH menang pada Mei 2018.
Ada tanggapan dalam PH bahawa Dr Mahathir akan jadi perdana menteri selama dua tahun dan Anwar sendiri baru-baru ini berkata beliau jangka akan mengambil alih tahun depan. Namun kenyataan Dr Mahathir mencetuskan keresahan dalam kalangan mereka yang percaya peluang Anwar kini makin pudar 16 selepas PH mentadbir.
Keadaan tambah buruk apabila Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang baru berumur lima tahun ketika Anwar dipecat pada 1998, menegaskan bahawa tiada tempoh masa ditetapkan untuk peralihan kuasa.
Ezam lebih berterus terang lagi. Beliau menggelar Dr Mahathir “pemimpin reformasi palsu”. Ezam dan Syed Husin adalah antara yang tahu dari pengalaman sendir bagaimana jentera politik bekerja dan bagaimana sulitnya memastikan Anwar jadi perdana menteri, walaupun dua dekad kemudian.
Di sisi yang lain, ada pula Khairuddin Abu Hassan, penerbit buku politik yang membawa kepada pemecatan Anwar pada 1998. Beliau masih tidak yakin Anwar layak untuk menerajui kerajaan dan negara.
Déjà vu? Sudah tentu, kalau dilihat dari beberapa sisi.

Perbalahan politik berhubung peralihan kuasa antara Dr Mahathir dan Anwar, dahulu dan sekarang, berlaku di tengah-tengah suasana ekonomi yang tidak memberangsangkan dan masa depan global yang suram susulan perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, serta masalah Brexit dalam Kesatuan Eropah.
Dahulu dan sekarang, pendukung dan pengkritik dua pemimpin ini menyerang antara satu sama lain untuk memastikan apa yang dijanjikan itu terlaksana atau tidak. Sekali lagi, Dr Mahathir penyandang dan Anwar pewaris.
Hakikatnya, penyokong mereka perlu melihat gambaran Malaysia yang lebih besar, sekarang. BN tumbang dalam pilihan raya umum yang lalu kerana gabungan kekuatan dua pemimpin ini.
Gandingan usaha bersama mereka juga yang akan memulihkan ekonomi, dan membuatkan rakyat rasa bersatu dan bukannya terbelah atas nama kaum, agama dan kelas.
Buat masa ini, selagi Dr Mahathir dan Jemaah Menterinya gagal meningkatkan mutu hidup rakyat, beliau akan mewariskan masalah kepada Anwar.
Anwar tidak akan dapat apa-apa melainkan beliau juga ikut sama dalam usaha melaksanakan janji kepada rakyat.
Kepada penyokong mereka, barangkali ada baiknya untuk kurangkan bercakap sebaliknya memastikan janji dikota. Atau, dua pemimpin mereka ini menyertai musuh mereka dalam BN dan PAS dalam senarai pemimpin politik yang gagal. – 30 September, 2019.
* Jahabar Sadiq adalah ketua sidang pengarang The Malaysian Insight.
Komen