JUTAAN rakyat mampu dibebaskan daripada belenggu kemiskinan dengan Inisiatif Belt and Road China (BRI) namun ia perlu disertakan dengan pembaharuan dasar lebih mendalam yang meningkatan ketelusan dan meningkatkan kelestarian hutang, menurut kajian yang dijalankan Bank Dunia.
Kajian yang diketuai oleh pakar ekonomi Michele Ruta mendapati bahawa pembaharuan dasar penting bagi negara untuk meraih keuntungan berkaitan BRI.
“Sebagaimana yang dijelaskan dalam laporan itu, koridor Belt and Road mempunyai potensi ketara untuk meningkatkan perdagangan, pelaburan asing dan meningkatkan taraf hidup rakyat bagi negara yang menyertainya - namun sekiranya China dan negara yang terlibat melaksanakan pembaharuan dasar yang mendalam.
“Hari ini, negara yang terlibat berdepan masalah infrastruktur pengangkutan sedia ada. Pelbagai jurang dasar di negara-negara ini menghalang kemajuan yang lebih besar ke arah ini,” kata Pengurus Negara Bank Dunia Dr Firas Raad semasa ucapan pembukaannya ketika pelancaran laporan BRI di Bank Negara.
Menurut Firas, projek BRI akan membantu dalam dua cara kritikal.
“Dengan menurunkan masa perjalanan dan meningkatkan perdagangan dan pelaburan, pasukan kami menganggarkan bahawa masa perjalanan sepanjang koridor akan menurun sehingga 12 peratus sebaik sahaja jalan raya, landasan kereta api dan pelabuhan dinaik taraf dan siap.
“Negara di sepanjang koridor BRI akan menyaksikan pertumbuhan perdagangan sehingga 9.7 peratus. Perdagangan global akan meningkat 1.7 peratus dan 6.2 peratus. Lebih besar perhubungan akan membawa lebih banyak kelebihan, terutamanya bagi negara yang terpinggir daripada ekonomi global,” tambahnya.
Bagaimanapun, Firas menyatakan bahawa BRI akan membentangkan risiko yang memerlukan analisis dan pertimbangan teliti.
Beliau mendedahkan bahawa suku daripada ekonomi sepanjang projek pembangunan dan perdagangan utama China sudah mewujudkan tahap hutang yang tinggi.
“Analisis kami menunjukkan bahawa bagi 12 dari 43 negara yang mana data terperincinya tersedia, kelemahan hutang akan meningkat sekarang dan 2023 termasuk untuk kedua-dua jenis projek.
“Walaupun di negara-negara tanpa hutang yang tinggi, kerajaan perlu menilai pulangan jangka panjang projek BRI,” katanya.
BRI adalah strategi pembangunan global yang diguna pakai oleh kerajaan China melibatkan pembangunan infrastruktur dan pelaburan di 152 negara di Asia, Eropah, Afrika, Timur Tengah, dan Amerika.
“Belt” merujuk kepada laluan darat untuk pengangkutan jalan dan kereta api, manakala “road” merujuk kepada laluan laut.
Bekas perdana menteri Najib Razak telah menandatangani banyak perjanjian pelaburan dengan China, termasuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai berbilion dolar, projek saluran paip bernilai lebih RM3.1 bilion, serta RM100 bilion Forest City di Johor. – 30 September Ogos, 2019.
Komen