MCA yakin pengundi Tanjung Piai tidak dipengaruhi faktor kaum, agama


Esther Sinirisan Chong Yeoh Cheong Ee

MCA bertanding di Tanjung Piai pada empat pilihan raya umum selepas kerusi itu diwujudkan pada 2003 susulan persempadanan semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2019.

BARISAN Nasional (BN) perlu meletakkan seorang calon Cina pada pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai, kata pemimpin parti komponen pakatan itu.

Pemimpin MCA merasakan pengundi di Tanjung Piai akan memilih calon terbaik tanpa mengira kaum dan agama walaupun wujud kempen Dahulukan Calon Muslim (VMF) yang dilancarkan sebuah kumpulan.

Ketua Pemuda MCA Nicole Wong berkata kempen yang dilancarkan oleh Gerakan Pengundi Sedar (GPS) itu hanya akan memecahbelahkan rakyat Malaysia.

“MCA dan BN sentiasa bersikap sederhana. Tanpa mengira latar belakang kaum atau agama calon, kita mengalu-alukan mereka jika berkongsi idea yang sama seperti kita,” katanya sambil menambah MCA sedia untuk bertanding sekali lagi merebut kerusi Parlimen itu.

Timbalan Pengerusi MCA Johor, Lim Pay Hen berkata walaupun berdepan kempen VMF, jentera parti negeri itu sudah memulakan tugas di lapangan untuk mendekati pengundi di kawasan tersebut.

Lim yang merupakan senator Dewan Negara berkata parti itu akan bertemu pengundi untuk menjelaskan isu semasa menjelang PRK itu.

Ketua Pemuda MCA Nicole Wong berkata kempen yang dilancarkan oleh Gerakan Pengundi Sedar (GPS) itu hanya akan memecahbelahkan rakyat Malaysia. – Gambar Facebook, 29 September, 2019.

“Kita hanya bersedia untuk PRK itu. Kita tidak mahu terpinggir dari kempen ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ketua Biro Gerakan Masyarakat Awam MCA, Ng Kian Nam menyifatkan kempen anjuran GPS itu sebagai agak keterlaluan.

“Kempen ini bertentangan dengan Perlembagaan persekutuan kerana setiap orang mempunyai hak asas yang sama dan tidak boleh didiskriminasi berdasarkan kaum dan agama,” kata pemimpin parti itu.

Beliau berkata walaupun PAS lebih berfahaman sederhana, parti itu tidak pernah meminta pengundi memilih calon Islam sahaja.

Seperti kempen Dahulukan Produk Muslim (BMF), Ng berkata kempen GPS akan gagal sekali lagi kerana rakyat Malaysia sudah matang untuk memilih dengan bijak.

“Tidak bermakna jika semua perkara dipandang dari sudut perkauman dan agama sahaja. Sebaliknya, kita perlu fokus untuk mencari calon yang mampu berkhidmat di kawasan itu,” kata Ng.

MCA bertanding di Tanjung Piai pada empat pilihan raya umum (PRU) selepas kerusi itu diwujudkan pada 2003 susulan persempadanan semula.

Bekas presiden MCA Ong Ka Ting menang kerusi itu pada PRU 2004 sebelum Wee Jeck Seng mempertahankan kemenangan pada 2008 dan 2013.

Seperti kempen Dahulukan Produk Muslim (BMF), Ng berkata kempen GPS akan gagal sekali lagi kerana rakyat Malaysia sudah matang untuk memilih dengan bijak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2019.

Pada PRU14, calon Bersatu Md Farid Md Rafik mengejutkan Wee dengan kemenangan tipis 524 undi dalam saingan tiga penjuru melibatkan calon PAS Nordin Othman.

Susulan kematian Farid pada 21 September lalu, parti utama BN, Umno mendakwa pihaknya perlu bertanding di kawasan itu kerana majoriti pengundi adalah Melayu dengan 57% dan mempunyai peluang yang lebih baik.

Pengundi Cina berjumlah 42% manakala India 1%. – 30 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen