PERTANDINGAN pelbagai penjuru bukanlah kisah klasik pertandingan PAS-Amanah-Umno atau Bersatu-Umno-PAS. Atau PKR-PAS-Umno. Ini bukan liga percaturan parti politik di Malaysia sahaja. Pertandingan tiga penjuru juga menghantui parti politik di negara maju.
Di Jepun perkara ini juga berlaku. Pada masa kini parti pembangkang berdepan pertandingan tiga penjuru apabila Parti Demokratik berpecah dua. Maka kini muncullah parti baru dikenali sebagai Parti Harapan. Parti ini dipimpin oleh Yuriko Koike yang turut disertai pemimpin parti Demokratik lain seperti Jin Matsubara, Akihisa Nagashima dan Yuichi Goto.
Mineyuki Fukuda yang menjadi ahli kabinet Jepun pula meninggalkan Parti Liberal Demokrat (LDP) untuk menyertai Parti Harapan. Manakala pemimpin kanan Parti Kokoro (Parti Hati), Kyoko Nakayama turut menyertai Parti Harapan.
Kewujudan Parti Harapan ini membuka ruang pertandingan tiga penjuru antara LDP, Parti Demokratik dan Parti Harapan.
Berdasarkan situasi ini, LDP, parti tua di Jepun yang pernah tewas pada tahun 2009 pertama kali pada abad ke-21 ini, dijangka dapat memenangi pilihan raya dengan perpecahan parti pembangkang ini. Hal ini kerana tidak ada amalan politik kompromi sesama parti pembangkang.
Situasi di Sepang
Kerusi parlimen Sepang ialah kerusi panas yang pernah dimenangi oleh Hanipa Maidin atas tiket PAS pada PRU 2013. Beliau memperoleh undi sebanyak 36774 undi dan berjaya mengalahkan Mohd Zin Mohamed yang dianggap gergasi politik di Sepang dengan kemenangan 1,104 majoriti.
Ketika itu Umno di Sepang bergelora dan menyebabkan perpecahan dalaman parti Umno. Pertandingan empat penjuru berlaku dan tiga calon ialah daripada Umno. Ketika itu, Mohd Zin ialah calon rasmi Umno tetapi dianggap calon luar oleh Umno di Sepang.
Krisis dalaman Umno Sepang menyebabkan AJK Umno Bahagian Sepang, Hanafiah Mohamad dan mantan Adun Dengkil 2004 dan bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Sepang,Suhami Mohd Ghazali bertanding atas tiket bebas. Suhaimi juga mantan Ketua Pemuda Umno Selangor.
Suhaimi dikatakan antara yang berperanan membawa Mat Zin dari Shah Alam ke Sepang untuk bertanding di Sepang selama dua penggal. Selepas dua penggal dikatakan Mat Zin akan mengundur diri dan memberi laluan kepada calon lain. Namun apabila tempoh dua penggal berakhir Mat Zin masih berminat untuk terus bertanding dan ini menyebabkan undi protes dalam kalangan Umno sendiri.
Protes Dalaman Umno
Tindakan ini adalah tanda protes terhadap pencalonan Zin sebagai calon di parlimen Sepang. Kesan daripada pertarungan empat penjuru, reputasi Umno bukan sahaja merudum kerana bertarung sesama Umno dan berebut kuasa, tetapi juga menyebabkan kekalahan memalukan Umno Sepang akibat perpecahan undi Umno sendiri.
Hanipa Maidin berjaya menang akibat daripada perpecahan Umno. Namun pada PRU akan datang, pihak pimpinan tertinggi Umno dikatakan sudah memahami kehendak pengundi Sepang. Malah beberapa calon berpotensi dikatakan sudah dikenal pasti.
Pada PRU akan datang, pertembungan Amanah dan PAS tidak dapat dielakkan. Dengan jumlah majoriti sangat kecil, undi PAS dan Amanah yang pasti terpecah dua sudah pasti tidak akan dapat memberikan kemenangan kepada PAS dan Amanah.
Calon Umno Berpotensi
Dari segi sejarah politik Sepang, Mohd Zin menjadi Ketua Bahagian Sepang selepas Mohd Shariif Jajang berundur. Kemudian Marsum Paing berjaya menewaskan Mohd Zin yang dianggap berpengaruh, ramai penyokong tegar dan mempunyai hubungan baik dengan Putrajaya. Ketika itu Marsum ialah timbalan ketua Umno Bahagian Sepang. Hingga kini Marsum yang digelar giant killer merupakan antara calon berpotensi menjadi ahli parlimen Sepang.
Marsum juga merupakan Pengerusi Kontraktor Melayu Malaysia cawangan Negeri Selangor. Apabila beliau berjaya mengalahkan Mohd Zin tentulah penyokong Mohd Zin akan menolak Marsum untuk bertanding sebagai calon parlimen. Mohd Zin masih mempunyai pengaruh dalam Rangkaian Sahabat Sepang yang beliau tubuhkan selepas kekalahannya. Politik kompromi perlu dilakukan.
Nama Dr Karim Mansur sering juga disebut-sebut oleh pengundi Sepang. Beliau pernah menjadi Adun Tanjung Sepat dua penggal pada tahun 2004 dan 2008. Apabila beliau tidak dicalonkan di dun tersebut pada PRU 2013, PAS berjaya merampas kerusi milik asal Umno tersebut dan bertukar milik kepada PAS hingga kini.
Kemenangan Karim terdahulu dikaitkan dengan mempunyai keluarga besar di Sepang, dikenali ramai kerana mempunyai banyak klinik dan banyak membantu masyarakat di situ. Beliau kini merupakan Naib Ketua Umno Bahagian Sepang.
Selain itu, nama Ketua Pemuda Umno Sepang, turut tersenarai sebagai calon berpotensi mewakili parlimen Sepang. Noor Azli Mohd Said ialah pegawai khas kepada Menteri Pendidikan Mahadzir Khalid.
Politik Kompromi
Dikatakan politik kompromi akan berlaku bagi mengelak Umno Sepang berkrisis semula dan untuk elak Sepang jatuh di tangan pembangkang. Musuh utama mereka sekarang ialah PAS dan Amanah. Apabila isu dalaman Umno Sepang dapat diselesaikan, maka Umno dijangka dapat memenangi kerusi Sepang pada PRU akan datang. Dalam konteks ini, pertandingan tiga atau empat penjuru kini lebih memihak kepada Umno dan Barisan Nasional.
PAS dan Amanah perlu akur bayangan hakikat ini dan politik kompromi sesama pembangkang perlu ada dan tak dapat dielakkan jika benar-benar mahu pembangkang menang di parlimen Sepang.
Hakikatnya, sesiapa sahaja antara parti tersebut yang amalkan politik kompromi pasti akan memenangi parlimen Sepang. – 15 Oktober, 2017.
* Dr Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik yang percaya dunia akademik melangkaui politik kepartian dan intelektual awam adalah pencetus pencerahan. Selain memberi kuliah beliau juga menjalankan kajian bebas dalam bidang sosio-budaya termasuk budaya politik dan budaya masyarakat.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen