PROJEK Transit Rapit Johor Bahru-Singapura (RTS) akan menjadi salah satu isu utama menjelang Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, kata timbalan ketua PKR negeri itu dilapor The Star.
Jimmy Puah Wee Tse berkata RTS akan menjadi isu utama kerana ramai penduduk Tanjung Piai berulang-alik ke Singapura setiap hari untuk bekerja.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika Malaysia dan Singapura bersetuju untuk melanjutkan tarikh akhir pelaksanaan RTS sebulan lagi.
Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan mengesahkan tarikh akhir permulaan projek dilanjutkan kepada 31 Oktober tanpa kos tambahan.
Projek itu pada mulanya dijadualkan bermula tahun ini dan dijangka disiapkan menjelang Disember 2024.
RTS bermatlamat mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan utama menghubungkan dua negara itu.
Ia meliputi landasan sepanjang 4km yang menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands, Singapura dan mampu membawa 10,000 penumpang sejam.
Puah berkata pelanjutan tarikh pelaksanaan adalah untuk menyelesaikan beberapa isu teknikal yang masih tertangguh.
“Jika mereka mahu batalkannya, kami akan maklumkan,” katanya dipetik The Star Online hari ini.
Puah juga mendedahkan 26 ketua cabang PKR akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Anwar Ibrahim pada Isnin (30 September) untuk memberi taklimat pilihan raya.
“Kami juga akan mengadakan mesyuarat Pakatan Harapan negeri pada 4 Oktober. Selepas itu, kami berharap akan tahu siapa yang akan bertanding kerusi itu,” katanya lagi.
Tambahnya, PRK Tanjung Piai merupakan cabaran besar untuk menteri besar Johor dan kerajaan PH negeri.
Suruhanjaya Pilihan Raya akan bertemu pada Selasa ini untuk menentukan hari penamaan calon dan pengundian.
Kerusi Tanjung Piai kosong selepas kematian penyandangnya, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Md Farid Md Rafid kerana serangan jantung.
Pada PRU14 lalu, Wee Jeck Seng (BN/MCA) penyandang dua penggal kerusi itu ditewaskan Md Rafid dengan marjin tipis, 524 undi.
Farid meraih 21,255 undi, bagaimanapun gabungan calon PAS Nordin Othman dan Wee berjumlah 23,693 undi, menimbulkan kemungkinan PRK Tanjung Piai akan sengit selepas PAS dan Umno mengumumkan kerjasama politik rasmi awal bulan ini. – 29 September, 2019.
Komen