TIGA anak kepada lelaki yang maut dalam kejadian tembakan dengan polis baru-baru ini di Batu Arang, Gombak, sudah kembali ke United Kingdom (UK), kata P. Uthayakumar.
Peguam keluarga itu berkata anak mangsa berusia 17, 10 dan 5 tahun itu kembali ke UK tiga hari lalu kerana bimbangkan keselamatan mereka.
“Ketiga-tiga mereka meninggalkan Malaysia untuk pulang UK dan mengatakan tidak akan kembali. Mereka pergi secara diam-diam dan kami tidak mahu ia diketahui. Mereka bimbang keselamatan jika berada di sini,” kata Uthayakumar.
“Nasib baik, pasport ada bersama mereka. Hanya kad PR UK dipegang oleh ibu mereka yang hilang, Moganambal Govindasamy,” katanya.
Bapa mereka, Janarthanan Vijayaratnam - warga negara Sri Lanka dengan status penduduk tetap UK - ditembak mati oleh polis dua minggu lalu.
Dua lagi - Thavaselvan Govindasamy dan Maghendran Santhirasegaran - juga terbunuh dalam kejadian pada 14 September itu.
Ketiga-tiga mereka dituduh melarikan diri daripada pihak polis dan berbalas tembakan berlaku kejar mengejar di Km 22 Jalan Batu Arang.
Polis mengesyaki ketiga-tiga mereka sebagai perompak, dan merampas dua pistol, parang dan topeng ski, manakala kereta yang mereka naiki adalah kenderaan yang dicuri.
Moganambal pula dilaporkan hilang. Polis berkata wanita itu tidak berada di dalam kereta ketika ketiga-tiga mangsa ditembak mati.
Bagaimanapun, keluarga mangsa berkata Moganambal bersama kesemua lelaki itu sebelum kejadian. – 29 September, 2019.
Berita penuh di sini
Komen