Puitika rock dalam sastera hippie


Zainal Rashid Ahmad

BUDAK pasar yang membesar dalam kelas sastera yang membosankan di sekolah, pasti menyimpan pandangan sinis terhadap novel, puisi dan teks klasik Melayu.

Pada awal 80-an, pendidikan sastera di sekolah hanya satu momokan lekeh. Apalagi senarai buku teks SPM dianggap skema dan fesyennya macam ‘baju batik kelab belia’.

80-an ialah dekad yang kontradik kerana muzik rock mula menular. Remaja mula dipengaruhi dengan lirik-lirik lagu Inggeris yang havoc.

Elemen rebel dalam lagu-lagu Pink Floyd, Bob Dylan, The Doors, Grand Funk Railroaddan Queen terasa lebih puitis kerana elemen berontaknya.

Dekad itu, remaja sekolah berusia 15 hingga 17 tahun dengan bahasa Inggeris yang ala kadar pun lebih terpengaruh mendengar muzik hippie John Lennon dan Janis Joplin.

Liriknya lebih puitis dan melawan. Tentulah berbeza dengan senarai sajak dalam teks SPM yang sangat skema.

Pelajar yang juga pencinta rock dan pengikut hippie lebih tekun menghabiskan masa berbincang makna lirik-lirik era Woodstock.

‘Another Brick In The Wall’ menjadi lirik paling popular kerana dengan jelas menolak konsep pemaksaan belajar.

Malah, kami duduk dengan kawan-kawan aliran sains yang mahir bahasa Inggeris. Mereka turut membantu menterjemahkan lirik ‘Wiseman’, ‘Bohemian Rhapsody’, ‘Piece of My Heart’, ‘Tangled Up In Blue’, ‘Comfortably Numb’ dan ‘Hurricane’.

Akhirnya, budak SPM aliran Sains yang buta sastera juga ikut menjadi penggemar muzik rock dan hippie dari Barat.

Terlalu moral dan terlalu didaktik menjadikan bahan sastera untuk teks SPM sangat skema. Novel, puisi dan teks klasik terasa tidak relevan untuk pelajar 80-an mengenal realiti dunia yang kritis pada dekad itu.

Mengenali novel Bumi Manusia

Usai era hippie, muncul konsep ‘brutality’ terhadap iman dalam muzik Megadeth, Black Sabbath dan Iron Maiden.

Ini mencetuskan gangguan elemen pada warisan hippie. Era rock black metal yang menyusul selepas era hippie ternyata gagal mengisi nilai seni warisan pelopor woodstock.

Muzik kelompok hippie generasi Jim Morison, Bob Dylan, Uriah Heep dan Rainbow dikuatkan dengan lirik yang puitis dan humanis. Ini teras falsafah muzik rebel anti perang yang ditinggalkan generasi rock Woodstock.

Akhirnya, kecintaan pada muzik rock berikutan keindahan lirik yang puitis serta falsafah generasi hippie mula beralih arah. Minat seni menyeret minda untuk mengetahui: apakah sastera Melayu juga rebel dan memperjuangkan humanisme?

Maka, datanglah novel Bumi Manusia.

Ketika budak hippie berusia 18 tahun, nama Pramoedya Ananta Toer (Pram) agak heboh. Dunia sastera menyebut kisahnya sebagai bekas tahanan politik yang dituduh komunis.

Malah, karyanya dilarang terbit di Indonesia, tanah air kelahirannya. Namun anehnya, empat novel kesinambungan yang ditulis Pram ketika dipenjara di Pulau Buru beredar di Malaysia.

Imej Pram tiba-tiba jadi setara mentor hippie, John Lennon yang dianggap ‘persona non grata’ dari London ke New York.

Bekas maestro Beattles kelahiran Liverpool ini, dianggap musuh White House. Kehadirannya di Amerika Syarikat kerap kali disabotaj White House kerana Lennon berjuang menegakkan humanisme anti perang.

Malah, pencinta hippie percaya, kematian Lennon yang tragik pada 8 Disember 1980 di New Dakota adalah satu konspirasi jahat agenda FBI dan CIA.

Kematian Lennon telah meletakkan satu barometer terhormat bagi perjuangan seniman Woodstock. Ini persepsi budak hippie yang dibesarkan lirik-lirik rebel dan kempen anti perang wawasan Lennon.

Pada 1985, novel Bumi Manusia sudah pun dijual di kedai buku Pekan Rabu, Alor Setar. Budak hippie membacanya kerana imej Pram diiktiraf sebaris pencapaian Lennon selaku ikon legenda Woodstock.

Bumi Manusia ditulis ketika Pram dipenjara secara kejam oleh rejim Orde Baru di Pulau Buru atas tuduhan tanpa bicara selama 14 tahun.

Malah, pada 1947 hingga 1945 (ketika berusia 22 hingga 24 tahun) novelis ini juga pernah dipenjara penjajah Belanda.

Tentulah sasterawan ini hebat. Malah, Pram barangkali jauh lebih hebat berbanding Lennon yang dikaitkan dengan konspirasi CIA dan FBI.

Pram dipenjara rejim Sukarno pada 1965 hingga 1979 kerana dituduh terbabit dengan peristiwa Gerakan 30 September. Insiden ini mengorbankan enam pemimpin tinggi tentera Indonesia.

Walaupun dibebaskan pada 1979, Pram dikekang dan dijadikan tahanan dalam rumah. Ini satu proses penindasan yang hanya mampu dihadapi seniman berjiwa besar.

Apa berlaku pada budak hippie setelah membaca Bumi Manusia?

Hebat! Novel ini kekal menjadi panduan hidup selama lebih tiga dekad. Watak Minke jadi petunjuk: hidup bukan untuk mengaku kalah. Pram mendidik – masa muda ialah perjuangan demi bangsa sambil mengejar cinta remaja.

Tentulah Bumi Manusia novel sensasi dan dinamik. Isinya bukan novel SPM yang skema dan sangat didaktik.

Sastera di sekolah jadi kenangan sahaja. Kaedahnya dianggap mendoktrinisasi remaja untuk tumbuh menjadi warga lurus bendul.

Membaca Bumi Manusia membuka jendela minda. Kata-kata dan perjuangan rebel tidak hanya wujud dalam lirik hippie dan Woodstock.

Perjuangan dan humanisme yang rebel sudah lama bercambah dan tumbuh segar dalam karya sastera Melayu.

Dari Salina ke Kamala Markandaya

Novel Bumi Manusia membawa budak hippie ke novel Salina karya A Samad Said. Karya hebat ini diburu ketika merayau di Kuala Lumpur. Menemuinya pada tahun 1987 satu momen magis.

Salina novel yang sangat memukau. Isinya mengenai nasib wanita bernama Salina jauh lebih havoc berbanding suara rebel feminim dalam muzik blues Janis Joplin.

Salina mengisi tema zaman gelap seorang wanita dan dunia kemiskinan dekad awal kemerdekaan.

Malah, hingga hari ini setelah genap 60 tahun diterbitkan, Salina kekal relevan dan masih menjadi indeks terbaik suara kemanusiaan dalam sastera Melayu. Salina akan kekal hidup membugar sepanjang zaman.

Selepas kenal novel Salina pada 1987, budak hippie faham: sastera bangsanya memang luar biasa.

Pendidikan teks sastera SPM bukan wajah sebenar mengukur pemikiran sastera Melayu.

Dari novel Salina, minat berkembang ke puisi Baha Zain, T Alias Taib dan Latiff Mohidin. Malah, jauh menyeberang ke Indonesia dipengaruhi karya WS Rendra dan Taufiq Ismail.

Akhirnya, tiap kali teringat lirik lagu Wiseman nyanyian Uriah Heep, pasti berbaloi untuk turut menghafal puisi Kota Kertas Tandas karya Baha Zain.

Tiap kali dipengaruhi lirik keamanan dunia dalam lagu Imagine nyanyian John Lennon, akan ada imbangan dengan puisi Sungai Mekong karya Latiff Mohidin.

Kalau teringat lagu Sausolito dan wajah kota San Francisco dan San Diego dalam lirik Western Union Band, diri turut terbuai dengan puluhan puisi ‘Laut Tak Biru di Seberang Takir’ dalam antologi T Alias Taib.

Dari dunia remaja ke dunia anak muda - muzik rock dan budaya hippie kekal tumbuh selari mengisi garus usia mentah dekad 80-an.

Akhirnya, elemen hippie mulai mati setelah katalis muzik rock tercemar akibat elemen syaitan dan dunia gelap libido tanpa had.

Perjalanan lewat dekad 90-an mulai berkembang bersama sastera. Membaca dan menyaksikan persembahan WS Rendra dan Sutarji Calzoum Bachri terasa sama hebat menonton konsert Bob Bylan dan U2.

Suara sastera alam Melayu terasa sama havoc dengan perjuangan seniman folk konservatif dan budaya seni pop yang masih menguasai muzik Barat.

Dekad 90-an budak hippie mengembara lebih jauh. Kekal terpengaruh dengan falsafah hippie yang menekankan humanisme dan kebenaran, minat membaca sastera mulai merentas ke India.

Muncul nama Kamala Markandaya. Budak hippie menangis berhari-hari membaca novel hebat Nectar in a Sieve (diterjemahkan oleh DBP dengan tajuk Madu Dalam Saringan).

Basah pipi menghayati karya hebat yang diterbitkan tahun 1954. Setelah empat dekad usianya ketika itu, novel mengenai kemiskinan di India terasa relevan jagatnya.

Malah, kalau dibaca hari ini pun (selepas 65 tahun), veteran hippie tetap tidak akan mampu menahan lajunya airmata.

Kamala dan novel hebatnya satu bukti: kemiskinan ialah musuh yang membunuh erti kemanusiaan pada setiap zaman.

Kamala menjadikan suara novelnya bersifat jagat raya. Melengkapkan kehadiran novel Cry My Beloved karya Alon Paton dari Afrika Selatan.

Walaupun pengkritik mengulas novel Kamala hanyalah kehidupan rutin keluarga miskin di India, namun siapa mampu menafikan nilai sasteranya bersifat sejagat?

Begitulah dua dekad antara 80-an dan 90-an yang dinamik. Dua era di mana elemen puitika dalam muzik rock dan falsafah hippie mulai menyatu dengan sastera yang humanis. Dua dunia yang kontradik tetapi mengisi makna kemanusiaan yang sama.

Kulitnya berbeza tetapi isinya lazat dan mematangkan akal budi menjadi manusia. – 29 September, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen