Sorotan bicara Najib: Bekas PM mahu 1MDB pinjam duit Perkeso RM3 bilion


Bede Hong

Bekas perdana menteri Najib Razak berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa untuk memperkayakan dirinya dengan RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang dalam jumlah yang sama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2019.

BEKAS perdana menteri Najib Razak mendesak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memberi pinjaman RM3 bilion kepada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) agar boleh dibayar kepada PetroSaudi International Ltd (PSI), Mahkamah Tinggi mendengar minggu lepas.

Najib, yang sedang dibicarakan kerana menyeleweng dana pembayar cukai berbilion, dikatakan meluluskan rancangan itu berdasarkan minit mesyuarat 1MDB bertarikh 30 Mac 2011, menurut bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

1MDB sepatutnya meminjamkan PSI sebanyak AS$750 juta (kira-kira RM3 bilion ketika itu) sekiranya ia menerima RM3 bilion daripada Perkeso, kata saksi itu.

Ini adalah sebutan pertama mengenai pinjaman Perkeso dalam mana-mana perbicaraan berkaitan 1MDB. Shahrol tidak mendedahkan sama ada pinjaman RM3 bilion, atau sebarang pinjaman, daripada Perkeso pernah diluluskan.

Pada masa itu, 1MDB mempunyai usaha sama penerokaan minyak dengan PSI bernilai AS$2.5 bilion.

Menurut minit itu, Najib berkata pinjaman AS$750 juta itu bertujuan untuk pelaburan di Maybourne Hotel Group yang berpusat di London, SRC International Bhd dan Kuala Lumpur International Financial District (KLIFD), yang kemudian dinamakan semula sebagai Tun Razak Exchange.

Bagi perbicaraan 1MDB, Najib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa untuk memperkayakan dirinya dengan RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang dalam jumlah yang sama. Beliau berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun sekiranya sabit kesalahan.

Najib berperanan cepatkan usaha sama 1MDB-PSI

Shahrol juga memberi keterangan yang Najib, pada September 2009 mengarahkan lembaga pengarah 1MDB untuk menyegerakan usaha sama dengan PSI kerana lawatan kerja diraja Saudi akan diadakan dalam masa terdekat.

Hasil usahasama itu, AS$700 juta (RM2.9 bilion) akhirnya dipindahkan ke sebuah syarikat bernama Good Star Ltd, kata Shahrol. Saksi itu kemudiannya mengetahui daripada pihak berkuasa penyiasat yang syarikat itu dikawal oleh Low Taek Jhoatau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Saksi itu menyifatkan hubungan Low dengan Najib sebagai “simbiotik”, mengatakan Low melakukan apa yang Najib inginkan dan sebagai balasan bekas perdana menteri itu memberikan kelulusan kerajaan yang diperlukan oleh 1MDB.

Shahrol menambah idea usaha sama dengan PetroSaudi dikonsepsikan ketika Najib bercuti di selatan Perancis dengan Putera Arab Saudi Abdullah Abdulaziz Al-Saud, yang memiliki syarikat itu. Low juga hadir pada percutian itu.

Najib halang audit kerajaan terhadap 1MDB

Sebulan kemudian, pada November 2009, Najib mengarahkan Shahrol menulis surat kepada ketua audit negara untuk menghalang audit kerajaan terhadap 1MDB, mahkamah diberitahu.

Bulan yang sama, Najib menyusul dengan suratnya sendiri yang menyatakan lembaga penasihat 1MDB bersetuju untuk “federalisasi” TIA diluluskan oleh Kabinet dan ini dilakukan secara “seperti mana sepatutnya”.

Najib yang mempengerusikan lembaga penasihat 1MDB, juga mencadangkan supaya pihak ketiga dilantik untuk melaksanakan audit.

Ditanya apa yang mungkin diketahui melalui audit kerajaan ketika itu, Shahrol berkata pemindahan AS$750 juta kepada sebuah syarikat tidak dikenali bernama Good Star Ltd akan didedahkan kepada orang ramai. – 29 September, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen