Palestin perlu bersatu untuk dapat semula tanah dari Israel, kata PM


Chan Kok Leong

Dr Mahathir mengulas pertanyaan mengenai nasihatnya untuk rakyat Palestin bagi mendapatkan semula tanah yang tidak dijajah Israel. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2019.

RAKYAT Palestin perlu bersatu dan tampil dengan strategi kemenangan untuk mendapatkan semula tanah mereka dari Israel, kata Dr Mahathir Mohamad.

“Inilah masanya kita perlu duduk berbincang dan merancang satu kempen bagi mendapatkan semula Palestin untuk penduduknya. 

“Atau setidak-tidaknya membolehkan penduduk Palestin mendapatkan semula hak mereka,” kata Perdana Menteri pada sidang media selepas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-74 hari ini.

“Pertama, rakyat Palestin perlu bersatu dan tidak berpecah-belah serta mengikut haluan masing-masing.

“Kemudian mereka perlu bersama-sama merancang untuk pulih. Dan ketika itu baru ada harapan untuk menang,” katanya.

Dr Mahathir mengulas pertanyaan mengenai nasihatnya untuk rakyat Palestin bagi mendapatkan semula tanah yang tidak dijajah Israel.

Beliau berkata rakyat Palestin gagal mendapatkan tanah mereka sejak penubuhan Israel pada 1948.

“Realitinya, mereka kehilangan lebih banyak tanah dan Israel membina lebih banyak penempatan di kawasan Palestin.”

Katanya rakyat Palestin sering gagal kerana mereka tidak mempunyai strategi untuk mendapatkan semula tanah mereka.

“Kebanyakan mereka marah tentang situasi ini dan menggunakan kemarahan itu pada tindakan yang tidak betul dan tidak membantu mendapatkan semula hak mereka.

“Jika kita menggunakan cara meletupkan diri atau melakukan pembunuhan, ia tidak akan membantu kita memenangi perang.

“Untuk memenangi satu peperangan, kita perlu strategi yang betul dan berkempen untuk meraih sebanyak mana sokongan.

“Tapi kita melakukan perkara yang membuatkan orang lebih marah kepada rakyat Palestin,” katanya.  – 28 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen