KATA-KATA Dr Mahathir Mohamad untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar Ibrahim tidak boleh dipercayai, kata seorang penasihat PKR Syed Husin Ali.
Timbalan pengerusi Majlis Penasihat PKR itu berkata Dr Mahathir sering mengeluarkan kenyataan berbeza-beza walau keputusan tersebut dicapai secara konsensus dalam Pakatan Harapan.
“Dr Mahathir ini dia cakap begini sekali, cakap begitu sekali, saya memang tak boleh pegang cakap dia.
“Mahathir kadang-kadang dia buat keputusan bersama dengan pimpinan tetapi nanti dia kata dia akan buat benda lain. Dia akan kata saya lupa.
“Ini bukan Melayu sahaja lupa, Dr. Mahathir pun selalu lupa,” katanya kepada pemberita di Majlis Memperingati 50 Tahun Dr Burhanuddin Helmy di Universiti Malaya hari ini.
Pada Khamis, Dr. Mahathir sekali lagi menegaskan akan melepaskan jawatan perdana menteri dalam tempoh tiga tahun – sebelum PRU15.
Namun mandat yang diperolehi oleh kerajaan PH untuk penggal ini akan berakhir pada 2023, dan PRU15 bakal diadakan pada tahun itu atau lebih awal.
Menurut Syed Husin, tempoh penyerahan kuasa yang terlalu hampir dengan PRU15 akan menyebabkan Anwar tidak mempunyai masa untuk membuat persiapan menghadapi pilihan raya.
“Kalau dekat PRU15 baru hendak serah, itu nak membunuh parti, itu hendak membunuh PH. Anwar tidak ada masa untuk berkempen.
“Dia mesti bersedia sekurang-kurangnya dua tahun sebelum mandat habis untuk mengatur pelbagai rancangan dan kempen,” tegasnya.
Beliau juga menjelaskan, peralihan kuasa dalam dua tahun yang disebut-sebut selama ini adalah berdasarkan jangkaan Anwar hanya akan dibebaskan daripada tahanan penjara dalam tempoh itu.
“Sebenarnya tidak ada bertulis berapa lama akan serah jawatan perdana menteri. Waktu itu disetujui semua parti bahawa bila sahaja Anwar bebas dan diampunkan maka waktu itu dia ganti Dr. Mahathir.
“Pada waktu itu, dikatakan bahawa proses ini akan mengambil dua tahun untuk bebas. Tidak sangka bebas awal, dalam enam bulan sudah boleh berlaku,” ujarnya.
Anwar diberi pengampunan penuh dan bebas dari tahanan penjara selepas seminggu Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan daripada BN pada Mei tahun lalu. – 28 September, 2019.
Komen