Jangan tangguh lagi projek infrastruktur di Johor, kata Khaled


Ragananthini Vethasalam

Bekas Menteri Besar Johor Mohamed Khaled Nordin mengulas lanjutan tempoh selama enam bulan dari tarikh akhir 30 September untuk Malaysia membuat keputusan berhubung projek itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2019.

BEKAS Menteri Besar Johor Mohamed Khaled Nordin berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) lebih serius untuk melaksanakan projek infrastruktur utama di negeri ini selepas keputusan tarikh akhir projek Sistem Transit Rapid dilanjutkan.

“Saya berharap, projek-projek prasarana pro-rakyat di Johor akan diteruskan dengan lancar tanpa terus berdalih dan memberikan pelbagai alasan..

“Kita tunggu dan lihat sahajalah apa pula alasan YB Anthony Loke hujung Oktober ini,” katanya merujuk kepada Menteri Pengangkutan.

Khaled mengulas lanjutan tempoh selama enam bulan yang akan tamat pada 30 September untuk Malaysia membuat keputusan berhubung projek itu.

Beliau berkata banyak alasan diberikan dan sudah berulang kali penangguhan berlaku terhadap projek yang menghubungkan Johor dan Singapura itu.

“Sebelum ini Pakatan Harapan telah memohon penangguhan selama 6 bulan bermula Mac tahun ini. Selepas permohonan tersebut mendapat pertimbangan dan kerjasama Singapura, maka Malaysia sepatutnya memberi jawapan kepada republik tersebut Isnin ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Akan tetapi, Menteri Pengangkutan YB Anthony Loke telah sekali lagi memohon penangguhan selama 1 bulan sebelum memberikan jawapan Malaysia kepada Singapura berhubung status dan pelaksanaan projek tersebut.,” katanya.

“Perkara ini bukan sahaja memalukan kita kerana sudah beberapa kali melanggar tarikh dan tempoh masa yang diberikan. Selepas satu penangguhan, satu lagi diminta. Sikap kita ini seperti diberi betis, minta paha.” katanya sambil menambah bahawa kerajaan sering meminta lebih banyak peluang setiap kali diberi ruang.

Katanya banyak pertimbangan besar yang nampaknya tidak dipandang serius oleh kerajaan PH.

Antaranya kata Khaled keseriusan PH dalam menyegerakan projek infrastruktur yang bertujuan memudahkan rakyat.

“Kerajaan PH sendiri tahu bahawa prasarana ini sangat diperlukan. Ia bertujuan memudahkan pergerakan keluar masuk rakyat kedua-dua negara ini sekali gus menjadi alternatif kepada Tambak Johor yang sudah sangat sesak,” katanya.

Katanya, janji kerajaan PH yang memastikan rakyat Malaysia di negara sendiri berbanding di Singapura adalah mustahil dan tidak praktikal.

“Saya tahu semua ini adalah modal politik PH yang digunakan pada pilihan raya. Tapi jangan gunakan rakyat sebagai umpan untuk terus berkuasa,” katanya.  – 28 September, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen