KEMENANGAN Pakatan Harapan (PH) merampas kuasa lebih 500 hari lalu memberi harapan dalam kalangan kumpulan masyarakat sivil yang mahukan jawapan dan keadilan berhubung kehilangan dua aktivis sosial lebih dua tahun lalu.
Satu siasatan awam telah dibuka oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) ketika negara masih berada di bawah pentadbiran Barisan Nasional.
Siasatan itu telah berakhir dan penemuan yang didedahkan awal tahun ini merumuskan pasukan Cawangan Khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bertanggungjawab di atas kehilangan Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat.
Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin juga mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas bagi menyiasat kehilangan dua aktivis itu empat bulan lalu tetapi sehingga hari ini tiada apa-apa yang dilakukan.
Kumpulan Tindakan Masyarakat Mengenai Kehilangan Paksaan (Caged) dan Suara Rakyat Malaysia memainkan peranan penting dalam permulaan siasatan awam.
Jurucakap Caged Rama Ramanathan memberitahu The Malaysian Insight baru-baru ini bahawa tiada satu kenyataan dikeluarkan berhubung pembentukan pasukan petugas khas.
“Orang awam tidak tahu sama ada pasukan petugas telah menyediakan kemas kini perkembangan berterusan kepada keluarga atau Suhakam.
“Sehingga kini kami tidak mengetahui terma rujukan pasukan petugas dan tidak ada berita mengenai tindakan tatatertib yang diambil oleh pihak polis terhadap pegawai yang mendakwa hilang ingatan dan beri banyak bukti bertentangan serta palsu dalam siasatan tersebut,” katanya.
Rama juga menyelar Putrajaya berhubung penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
“Sekiranya kerajaan serius mengenai pembaharuan polis, mereka akan menubuhkan IPCMC yang sebenar.
“Untuk berbuat demikian, data prestasi polis perlu dikeluarkan termasuk keberkesanan polis menyiasat anggota mereka sendiri dan persepsi orang ramai,” katanya. – 29 September, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen