TIADA toleransi terhadap kumpulan minoriti Islam seperti Syiah menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang paling tidak bertoleransi di dunia ketika ini, kata Prof Dr Syed Farid Alatas.
“Malaysia pernah menjadi model negara-negara Islam pada 1980-an tetapi hari ini ramai yang mengatakan bahawa ia sedang menuju ke arah (sebuah negara) yang paling sedikit kadar toleransi,” kata Syed Farid pada sebuah forum di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac) hari ini.
Forum berjudul “Masa Depan Ummah: Suara Kesatuan dan Harmoni” itu turut menjemput ahli panel lain termasuk Dr Ahmad Farouk Musa, Presiden International Movement for a Just World (Just) Dr Chandra Muzaffar dan Dr Osman Bakar dari Istac. Sesi forum tersebut dikendalikan oleh moderator dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Sharifah Munirah Alatas.
Beliau berkata bahawa terdapat penerimaan yang lebih meluas bagi kumpulan Syiah di negara-negara majoriti muslim yang konservatif seperti Pakistan.
“Tetapi pengikut Syiah dan Sunni tidak dibenarkan berkahwin di beberapa negeri di Malaysia,” kata pensyarah Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) itu.
Antara punca keadaan tersebut berlaku, kata Syed Farid, adalah kekurangan pendapat berbeza mengenai topik Syiah di negara ini.
“Malaysia sepatutnya mempunyai lebih ramai sarjana dan ulama dari dunia Sunni untuk bercakap mengenai topik ini dan bukan membiarkan (isu ini ditangani) badan institusi,” kata ahli sosiologi itu.
Syed Farid mengulas mengenai serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di himpunan Syiah di Gombak, 7 September lalu.
Seorang lagi panelis, Dr Chandra berkata perpecahan Syiah-Sunni adalah akibat tidak langsung selepas Revolusi Iran pada tahun 1979.
“Sebelum itu, Shah Iran dan kerajaan Arab Saudi mempunyai hubungan mesra. Tetapi selepas revolusi, Saudi melihatnya sebagai gerakan yang mengganggu keseimbangan geopolitik di rantau ini,” kata Chandra.
Beliau berkata bahawa sesetengah golongan di Malaysia telah menjadi anti-Syiah sehingga penolakan itu tidak lagi rasional.
“Sebagai akibat daripada itu, Malaysia menafikan hak asasi mereka untuk melaksanakan amalan mereka sendiri.”
Beliau berkata kumpulan Syiah di Malaysia sangat kecil dan tidak seharusnya dikenakan tindakan yang keterlaluan.
Namun sebaliknya, walaupun Syiah mempunyai bilangan kecil, Dr Ahmad Farouk mengatakan kumpulan adalah antara yang paling teraniaya di Malaysia.
“Hak minoriti yang paling teruk diserang bukan Kristian, Hindu, atau Buddha tetapi minoriti umat Islam seperti Syiah.”
Beliau berkata tidak masuk akal untuk Malaysia terperangkap dalam kancah konflik Syiah-Sunni seperti di Timur Tengah kerana bersaing untuk sumber.
Bagaimanapun, Syed Farid mengatakan harapan masih tidak hilang.
“Kami telah mula mengadakan hubungan dengan para sarjana Islam dan kerajaan dan apa yang kita perlu sekarang adalah akar umbi atau penduduk awam untuk mengatakan bahawa cukup dengan apa yang berlaku.
“Sekiranya terdapat tekanan yang lebih kuat daripada orang awam, ahli politik akan menghentikan penganiayaan (terhadap kumpulan itu),” katanya lagi. – 28 September, 2019.
Komen