Belanjawan 2020 perlu struktur semula GLC, kata pakar ekonomi


Sheridan Mahavera

Prof Edmund Terence Gomez dari Universiti Malaya berkata Belanjawan 2020 juga perlu mensasarkan langkah untuk menaikkan gaji rakyat berpendapatan rendah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2019.

PENSTRUKTURAN semula syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan penumpuan yang lebih untuk meningkatkan hasil pertanian adalah antara inisiatif yang perlu disertakan dalam Belanjawan 2020, kata pakar ekonomi.

Prof Edmund Terence Gomez dari Universiti Malaya (UM) berkata Belanjawan 2020 juga perlu mensasarkan langkah untuk menaikkan gaji rakyat berpendapatan rendah.

“Memandangkan kerajaan bercakap tentang matlamat ‘kemakmuran bersama’, ia perlu dibuktikan melalui dasar-dasar kerajaan dalam belanjawan,” kata Gomez kepada The Malaysian Insight, merujuk kepada agenda ekonomi Pakatan Harapan (PH).

Wawasan Kemakmuran Bersama mensasarkan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta menjamin pengagihan yang adil dan saksama bagi merapatkan kesenjangan sosioekonomi.

Penstrukturan semula GLC yang sewajarnya perlu disertakan dalam Belanjawan 2020 sekiranya kerajaan serius mahu membendung pembaziran, kata Gomez yang baru sahaja menyiapkan sebuah buku mengenai kajian tentang struktur GLC.

Buku tulisannya, MoF Inc, membahaskan bahawa struktur GLC yang rumit di bawah kerajaan persekutuan dan negeri yang diwujudkan oleh pentadbiran Barisan Nasional adalah bertujuan politik.

Penstrukturan semula akan membolehkan GLC dinilai sama ada ia berfungsi sepenuhnya dan menjana wang untuk kerajaan atau tidak, kata Gomez.

“Penstrukturan semula GLC tidak pernah dibuat sebelum ini dan di sinilah punca banyak pembaziran. Adakah mereka mereka dikendalikan oleh orang yang benar-benar cekap?” kata Gomez dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran UM.

Beliau juga berkata Kementerian Kewangan perlu mendedahkan berapa banyak yang dibelanjakan dibawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan apakah tindakan yang telah diambil terhadap syarikat yang tenat di bawahnya.

“Saya juga akan meneliti badan-badan berkanun dan kawalan mereka ke atas GLC serta memastikan mereka berfungsi dengan baik dan menjana hasil supaya badan berkanun ini mampu berdiri sendiri,” kata Gomez. – 29 September, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen