Dana sumbangan tahfiz terbakar cecah RM7.6 juta


Diyana Ibrahim

Sebaik saja proses audit selesai, dana hasil sumbangan orang ramai kepada pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah akan diagihkan kepada waris. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2017.

SEBANYAK RM7.6 juta sumbangan daripada rakyat Malaysia diterima untuk keluarga 23 mangsa yang mati dalam kebakaran di sebuah sekolah tahfiz di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur bulan lepas.

Wang itu akan diagihkan kepada keluarga selepas audit dilakukan, kata Penasihat 1 Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (Pinta), Mohd Gunawan Che Ab Aziz.

“Jumlah yang terkumpul ialah RM7.6 juta macam yang menteri cakaplah (Jamil Khir Baharom), jadi sekarang ini proses dokumentasi telah dibuat dan hanya tunggu untuk diserahkan pada pihak audit,” katanya yang ditemui The Malaysian Insight semasa menghadiri program Seminar Pendidikan Tahfiz Kebangsaan 2017, di Dewan Muktamar Pusat Islam, Kuala Lumpur, hujung minggu lalu.

Turut hadir ialah ialah Presiden Pinta merangkap Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Mohd Zahid Mahmood, namun beliau mengelak apabila diminta untuk menjelaskan perkembangan sumbangan orang ramai.

“Kalau untuk tanya pasal sumbangan, saya tidak boleh cakap,” kata pengetua itu.

Pertemuan kali pertama pengetua tahfiz bersama waris mangsa diadakan pada 25 September lalu iaitu selepas dua minggu insiden kebakaran yang mengorbankan 21 pelajar dan dua guru pada 14 September.

Sebelum ini, The Malaysian Insight melaporkan waris keluarga bersetuju untuk melantik peguam sebagai orang tengah untuk menuntut keadilan. 

Waris kecewa dengan pengurusan tahfiz yang mengabaikan keluarga selepas seminggu berdiam diri tanpa sebarang penjelasan mengenai kejadian, aspek keselamatan bangunan dan jumlah sumbangan derma diterima.

Susulan itu, Zahid mempersoalkan semula kenapa isu keselamatan dibangkitkan sekarang dan bukannya sewaktu keluarga menghantar anak, namun beliau kemudiannya menarik balik kenyataannya.

Sementara itu salah seorang waris mangsa, Noor Azizan Abdul Aziz berkata penyerahan dana sumbangan ada dimaklumkan oleh pengetua menerusi sebuah majlis penyampaian sumbangan persendirian kepada pusat tahfiz.

“Dia ada maklumkan, semasa majlis penyerahan sumbangan persendirian di surau minggu lalu, tapi dia tidak ada cakap dengan keluarga (khas) cuma dia umumkan ketika di majlis tersebut,” kata Noor Azizan yang kehilangan anak lelakinya berumur 16 tahun dalam kebakaran itu.

“Pengetua cakap akan bagi dalam seminggu dua lagi sebab nak tunggu audit, jadi kita tunggu saja tengok dulu bagaimana,” katanya.

Cadang tubuh dana Tunai Waqaf Pinta

Sementara itu Eksekutif Penyelidikan dan Produk Wakaf, Yayasan Waqaf Malaysia, Mohd Asraf Safwan Kamaruzaman mencadangkan mewujudkan satu tabung dana “Tunai Waqaf Pinta” supaya urusan sumbangan dapat diuruskan dengan lebih sistematik.

Katanya, cadangan itu dibangkitkan sebagai langkah iktibar daripada sumbangan derma yang diberikan kepada orang ramai berhubung kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah.

“Orang kita memang suka menderma tapi cuma kadang tak sampai sebab ada yang viralkan nombor akaun tahfiz.

“Begitu juga apabila kita tubuh dana Tunai Waqaf Pinta untuk menerima sumbangan kemudian masuk dalam satu tabung, dan jawatankuasa ditubuhkan urusan pengagihan keperluan yang diberikan pusat tahfiz jika sesuatu terjadi,” katanya ketika menyampaikan kertas kerjanya di seminar semalam.

Katanya jawatankuasa tersebut akan menyerahkan laporan kepada Pinta Negeri dan seterusnya Pinta Kebangsaan bagi memutuskan kelulusan wang yang akan digunakan hasil sumbangan orang ramai.

“Pelaksanaan ini masih diperingkat awal, sudah diluluskan, perjanjian dah ada cuma tinggal nak tanda tangan, nombor akaun pun ada sebab kita dah ada penyumbang.” – 17 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen